TUARAN: Kerajaan negeri memberi jaminan masalah gangguan bekalan air dan elektrik yang dialami rakyat ketika ini dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun dari sekarang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, beberapa langkah sudah diambil dan dilaksanakan untuk menambah kapasiti bekalan air dan elektrik tersebut.
Katanya, ia selaras komitmen kerajaan negeri dalam meletakkan usaha mengatasi masalah bekalan air dan elektrik yang dihadapi rakyat negeri ini sebagai keutamaan ke arah mensejahterakan kehidupan rakyat.
“Inilah yang dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat dapat bekalan air dan elektrik dan kita akan pastikan kedua-dua masalah ini dapat diselesai sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lagi. Jika diurus dengan baik, kita boleh mengatasi kedua-dua isu yang menjadi kegusaran rakyat pada masa ini.
“Kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab kerana itu kita buat perancangan rapi dan tentukan bahawa projek pembangunan rakyat berjalan mengikut jadual dan dilaksanakan dengan baik,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman di Dewan Sri Sulaman, hari ini.
Menurut beliau, Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tamparuli sedang dalam proses penyiapan akhir dan ia dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan.
Katanya, penyiapan projek itu akan menambah kapasiti bekalan air sebanyak 80 juta liter sehari (MLD) untuk menampung keperluan di utara Kota Kinabalu dan daerah ini, sekali gus dapat mengurangkan gangguan bekalan air yang dialami penduduk di kedua-dua kawasan ketika ini.
Beliau berkata, loji berkenaan adalah antara loji tambahan yang dirancang untuk menangani kekurangan bekalan air di kawasan ibu negeri dan sekitarnya, termasuk sebuah lagi di LRA Kogopon, Papar.
“Untuk air, kerajaan negeri sudah mula membina loji bagi meningkatkan bekalan air dari 40 MLD kepada 80 MLD di Kogopon, Papar yang sedang dilaksanakan dengan kos RM380 juta dan dijadual siap pada 2026.
“Selain itu, sebanyak 80 MLD lagi tambahan di LRA Telibong II bagi mengatasi masalah air di utara bandar raya Kota Kinabalu dan Tuaran yang akan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan,” katanya.
Hajiji berkata, menerusi usaha kerajaan negeri, ditambah dengan peruntukan RM320 juta dari kerajaan Persekutuan untuk penyelesaian jangka pendek masalah air di Sabah, masalah bekalan air di negeri ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Bagi bekalan elektrik, katanya antara usaha yang diambil ialah menerusi pembinaan loji jana kuasa hidroelektrik dan empangan di Ulu Padas, Tenom.
Jelasnya, pelaksanaannya projek itu bakal dimulakan dalam masa terdekat dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.