Kekalkan keharmonian, elak sentimen perkauman

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Masyarakat di negeri ini disaran untuk terus mengekalkan perpaduan dan integrasi sosial bagi mengelakkan wujud sentimen yang akan menganggu gugat keharmonian yang dikecapi hari ini.

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas, Mohammad Bahrin Abd Karim berkata, perpaduan kaum di negeri Sabah telah wujud sekian lama maka, generasi semasa perlu terus memainkan peranan untuk mengekalkannya.

“Kita sedar bahawa perpaduan kaum amat penting bagi kita di Sabah kerana kita terdiri daripada pelbagai suku kaum dan anutan agama.

“Untuk mengekalkan keharmonian dan integrasi sosial yang kita ada ini, perkara yang penting adalah elakkan segala insiden yang boleh mencemarkan perpaduan serta mengusik sentimen yang akan menimbulkan isu perkauman.

“Kita perlu terus menggalas tanggungjawab untuk memastikan integrasi sosial yang positif ini terus dikekalkan dan sentiasa ingat bahawa Sabah adalah negeri contoh dan tauladan kepada negeri lain di Malaysia, dalam aspek perpaduan kaum,” katanya semasa Persidangan Gagasan Rakyat Bahagian Likas, di sini semalam.

Mohammad Bahrin berkata, selain daripada mengekalkan perpaduan, masyarakat perlu mencintai ilmu dan menguasai pelbagai bahasa kerana ia akan membolehkan rakyat Sabah lebih menonjol.

“Penguasaan pelbagai bahasa mampu menjadi pengikat kepada keharmonian bangsa, sekaligus mengukuhkan jalinan perpaduan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Likas, Halijah Din berkata, perlaksanaan sesebuah aktiviti khasnya bagi menyampaikan wadah perjuangan parti akan lebih berkesan jika dilaksanakan secara berpasukan.

“Kita jangan jadikan kekangan dari segi bilangan yang sedikit, tetapi kita jadikan bilangan yang ada dalam kumpulan kita ini untuk saling bekerjasama dan bergerak sebagai sebuah pasukan kerana perjuangan kita kepada akar umbi pasti akan lebih bermakna jika kita bergerak seiringan,” katanya.

Persidangan tahunan itu adalah persidangan pertama sejak Gagasan Rakyat ditubuhkan pada Mac lalu.

Dalam persidangan yang berlangsung selama sehari itu, hampir 300 ahli Gagasan Rakyat Bahagian Likas serta rakan-rakan Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api dan perwakilan negeri menghadiri persidangan berkenaan.

Hadir sama adalah Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api, Datuk Faisyal Yusof Hamdain Deigo dan Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Martin Idang.

You May Also Like