PITAS: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) perlu sentiasa bersiap siaga dengan memulakan gerak kerja awal tanpa perlu menunggu saat akhir menjelang pilihan raya.
Naib Presidenya, Datuk Masiung Banah berkata, walaupun tempoh pilihan raya masih berbaki lebih dua tahun namun, jentera parti di semua peringkat perlu digerakkan lebih awal terutama di peringkat bahagian.
“Pilihan raya akan datang merupakan cabaran penting untuk tiga sayap parti mendekati golongan muda.
“Maka, sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis perlu kreatif mengadakan program bersama parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan Gagasan Rakyat bahagian Pitas, semalam.
Masiung berkata, sayap Pemuda dan Beliawanis perlu lebih agresif menarik minat anak muda menyertai aktiviti yang menarik minat mereka untuk menjadi ahli parti.
“Usaha mendekati golongan muda perlu lebih kreatif dan bersapadu agar pendekatan berkesan dapat dilakukan.
“Hanya sayap Pemuda dan Beliawanis memahami dan dapat menyelami citarasa golongan muda ke arah mana minat mereka seperti kesenian, sukan, riadah atau majlis sosial,” katanya.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu berkata, dua sayap utama parti itu juga wajar mendedahkan ilmu dan kemahiran ekonomi kepada generasi belia.
Sementara itu, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah, mahukan ketiga-tiga sayap parti itu menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan parti-parti kompunan dalam GRS.
Beliau turut mengumumkan pemberian geran RM20,000 kepada setiap sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis untuk melaksanakan aktiviti masing-masing.