Janathan seru penglibatan pemuda majukan Tandek

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

TANDEK: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tandek menyeru golongan pemuda di kawasan itu aktif dan sentiasa menyumbang idea baharu kepada pemimpin demi mencapai matlamat Tandek Maju Jaya.

Ketuanya, Datuk Dr. Janathan Kandok berkata, Jawatankuasa Pemuda bertujuan untuk menjadi wadah bagi para pemuda dalam parti menyuarakan aspirasi, kepentingan dan masalah yang dihadapi oleh pemuda.

“Peranan utama ialah menjadi penghubung antara pemuda dan kepemimpinan parti dan memastikan pemuda memiliki peranan aktif dalam pembuatan keputusan parti.

“Jawatankuasa Pemuda berupaya untuk membangun kepemimpinan dan keterampilan pemuda dalam politik dan kemasyarakatan, tujuannya supaya pemuda kekal relevan dalam kegiatan politik dan kemasyarakatan di Tandek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemuda Gagasan Rakyat Tandek di sini kelmarin.

Janathan berkata, salah satu fokus utama Jawatankuasa Pemuda adalah untuk mendorong penyertaan aktif pemuda dalam proses politik.

“Ini melibatkan kegiatan seperti mengadakan forum, diskusi, dan kegiatan sosial yang bertujuan untuk membuka peluang bagi pemuda untuk menyumbang dan mempengaruhi perubahan politik di peringkat Tandek, negeri dan nasional.

“Jawatankuasa Pemuda berusaha memperjuangkan isu-isu yang relevan bagi generasi muda seperti peluang pekerjaan, kemudahan sukan dan rekreasi, kesihatan mental dan mempertahankan Tandek daripada kemunduran dan pencerobohan hak asasi orang asal Tandek.

Katanya, Jawatankuasa Pemuda juga perlu membawa inovasi dan tenaga yang diperlukan untuk mengubah masyarakat menjadi maju.

Menurutnya, melalui penglibatan politik, jawatankuasa pemuda dapat melibatkan diri dalam proses pembuatan sistem, menciptakan solusi baharu, dan mengatasi penentangan dan cabaran yang dihadapi Gagasan Rakyat Tandek.

Tambahnya, orang muda lebih mudah beradaptasi dengan perubahan, situasi baharu, dan tentangan yang ada kerana memiliki kemampuan untuk belajar dengan cepat dan berubah sesuai dengan keperluan.

Sehubungan itu katanya, keunikan orang muda yang ada dalam Jawatankuasa Pemuda Gagasan Rakyat Tandek akan memberikan potensi besar mencapai visi iaitu diiktiraf sebagai pejuang keperluan rakyat.

You May Also Like