TUARAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin mampu mempertahankan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tuaran dengan kerjasama rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, beliau yakin keempat-empat kerusi tersebut akan kekal milik GRS.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu berkata, selain kerusi yang disandangnya, beliau yakin tiga kerusi lagi iaitu Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu akan kekal milik GRS dengan adanya kerjasama semua parti-parti gabungannya.
“Di Tuaran saya beri jaminan Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu tetap milik GRS pada PRN akan datang.
“Kita sedia menghadapi apa juga cabaran dan bertarung dengan mana-mana parti yang menentang kita di Tuaran.
“Apa yang penting adalah kerjasama parti antara kita, jangan ada sabotaj antara kita. Kalau GRS sudah tentukan calon maka, tugas kita Gagasan Rakyat adalah untuk menangkan calon tersebut,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman, di Dewan Sri Sulaman, hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS itu turut menasihatkan perwakilan dan rakan-rakan parti gabungan di keempat-empat DUN tersebut supaya sama-sama memastikan kemenangan berpihak kepada GRS.
Hadir sama adalah Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.