KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk memperkenal satu anugerah khas kepada sasterawan di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Itu antara komitmen yang ditunjukkan kerajaan negeri dalam usaha menyokong aktiviti untuk mengangkat seni budaya serta adat tradisi masyarakat tempatan di negeri ini.
Beliau berkata, penglibatan karyawan dan penulis Sabah mampu menyemarakkan lagi industri seni dan sastera negara maka, sudah tiba masa penyair dan penulis Sabah diketengahkan di peringkat nasional.
Jika dilihat Sabah mempunyai ramai penulis dan penyair seperti Hasyuda Abadi, Jasni Matlani, Juri Durabi, Siti Rahmah G Ibrahim dan Abdul karim Gullam.
“Pada era 60an hingga 70an, kita mempunyai Jamdin Buyung, K.Bali, Saidi Lampoh (S.Mala), Ismail Abbas (Amil Jaya), M.A. Rahman, Noraini Salleh dan banyak lagi.
“Namun, nama-nama tersebut tidak terangkat hingga ke peringkat nasional sebagaimana nama-nama besar seperti Abdullah Hussain, Arenawati, Usman Awang, Shahnon Ahmad, Anwar Ridwan dan Lim Swee Tin,” katanya.
Beliau berharap penglibatan karyawan dan penggiat seni dapat menyemarakkan lagi dunia seni dan sastera, bahasa dan budaya di negeri Sabah.
“Selaras dengan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam pembangunan budaya pelbagai etnik di Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) menetapkan tujuh keutamaan untuk dilaksanakan, antaranya pendigitalan seni budaya, pemuliharaan budaya, penyelidikan dan dokumentasi budaya dan pengembangan seni dan perlindungan harta intelek,” katanya semasa melancarkan Hari Sastera ke-19 di sini semalam.

Katanya, buku seperti antologi puisi, koleksi cerpen dan novel, misalnya, adalah bahan kesusasteraan yang mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat, terutama jika penulisnya itu seorang sasterawan yang terbilang.
“Sebagai seorang yang meminati kesusasteraan Melayu, saya ingin melihat di Sabah ini mempunyai ramai penulis atau karyawan bukan sahaja terkenal, tetapi tersohor dan termasyhur.
“Saya juga yakin, kegiatan bahasa dan sastera di Sabah ini akan terus menyerlah kerana kita mempunyai badan yang bergiat aktif memperjuangkan bahasa dan sastera.
“Semoga sambutan Hari Sastera ini akan menjadi pemangkin kepada gagasan lebih besar untuk menjadikan Sabah sebagai Dataran Bahasa Sastera dan Budaya yang terpenting di rantau ini,” ujarnya.
Katanya, Sabah sangat luas dan kaya dengan budaya serta adat resam. Negeri ini sahaja mempunyai 35 etnik dan 217 sub etnik yang bertutur dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik.
Hadir sama dalam majlis itu adalah Presiden Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia merangkap, Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), Datuk Jasni Matlani.