Kerajaan Sabah komited noktahkan kemiskinan tegar

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) sedang menyusun dan akan melaksanakan program-program untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, antara tindakan yang akan diambil adalah memperuntukkan RM125 juta setiap tahun untuk Program Rumah SMJ bagi membina rumah untuk rakyat miskin tegar yang tersenarai dalam e-Kasih.

“Kerajaan juga akan memperuntukkan sejumlah RM175 juta khas untuk program membasmi kemiskinan dengan mendapatkan peluang pekerjaan kepada golongan sasar bagi membolehkan mereka terkeluar dari kategori miskin tegar.

“Kerajaan negeri juga menyambut baik komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai usaha untuk mensejahterakan rakyat dengan langkah ke arah menoktahkan kemiskinan yang bertepatan dengan ajaran Rasulullah SAW,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Hajiji berkata, pembinaan tamadun yang gemilang bergantung kepada pencapaian sesebuah bangsa atau ummah kerana prestasi ummah yang baik pasti melahirkan tamadun agung yang memberi kesejahteraan kepada umat sejagat.

Sebab itu katanya, pembangunan insan merupakan aspek penting yang terkandung dalam Dasar Hala Tuju SMJ yang juga selari dengan kerangka pembangunan insan Malaysia Madani ke arah “Baldatun Thoyyibatun wa Rabbhun Ghafur” atau negeri yang baik yang mendapat keredhaan dan keampunan Tuhan yang maha pengasihani.

Beliau berkata, selaras dengan tuntutan itu kerajaan negeri memberi penekanan kepada aspek pendidikan dan latihan di bawah Hala Tuju SMJ dengan matlamat melahirkan modal insan yang berilmu, mahir dan berketrampilan.

“Atas faktor itu dan selari dengan teras kedua Hala Tuju SMJ iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, Program Felo SMJ 2.0 diteruskan pada tahun ini. Inisiatif ini adalah untuk memperkasa pembangunan modal insan di Sabah.

“Kerajaan negeri memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.

“Program Felo SMJ yang bermula awal bulan ini turut membuka ruang kepada pelajar lepasan diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf dengannya untuk ditempatkan di jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan matlamat untuk menyediakan pelapis kepimpinan Sabah pada masa akan datang,” tegasnya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri berada pada landasan yang tepat selaras dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ, yang kini hasilnya telah dapat disaksikan dan rasakan, terutama dalam usaha membangunkan semula ekonomi negeri menerusi konsep mesra pelabur dan mempermudahkan urusan para peniaga serta pelabur luar yang ingin menjalankan perniagaan di negeri ini.

“Dalam konteks negeri Sabah, semangat kekitaan dan perpaduan kaum perlu sentiasa dijaga dan dipelihara. Sekarang adalah masa dan detiknya untuk kita mempertingkatkan lagi silaturrahim, membina ukhuwah dan kesepakatan.

“Kita perlu merencana dan mengatur masa hadapan yang lebih kondusif dan cemerlang, selaras dengan gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju SMJ yang matlamatnya ke arah mencipta kemakmuran dan kesejahteraan yang holistik untuk dinikmati bersama”, tambahnya.

Terdahulu, Hajiji bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Haji Juhar Mahiruddin dan pemimpun-pemimpin negeri serta ribuan umat Islam menyertai perarakan dari Padang Merdeka ke SICC.

You May Also Like