Program MM2H untuk Sabah akan dibentang di DUN-Hajiji

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Program Malaysia Rumah Keduaku untuk Sabah (SMM2H) yang telah disemak semula akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, program SMM2H itu telah diperhalusi bagi menjadikan Sabah menarik ramai warga asing untuk berpindah ke negeri ini.

“Kemasukan lebih ramai bakat dan pakar akan memberi manfaat kepada kita terutamanya bagi Program Malaysia Rumah Keduaku (SMM2H) untuk Sabah yang akan dibentangkan di DUN dalam masa terdekat.

“Kita harap dapat melihat lebih ramai bakat bernilai tinggi, termasuk dari Korea Selatan akan berpindah ke Sabah,” katanya semasa pembukaan Pejabat Konsulat Republik Korea secara rasmi, hari ini.

Pada masa ini, Sabah menjadi rumah kepada kira-kira 2,000 rakyat Korea yang kebanyakan menetap di ibu negeri.

“Walaupun jumlah ini agak kecil, kita berbesar hati dengan penyertaan aktif mereka dalam ekonomi negeri Sabah.

“Secara kolektif, kehadiran mereka telah memberi impak yang besar. Malah, ramai yang memilih untuk menetap di sini dengan membawa pengalaman serta kemahiran mereka ke sini,” katanya.

Hajiji berkata, penubuhan Pejabat Konsulat Korea di sini merupakan langkah yang signifikan bagi mengembangkan lagi hubungan diplomatik mereka yang kini sedang berusaha untuk meningkatkan hubungan serantau dan global.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Korea bermula sejak tahun 1960. Sejak itu, banyak kemajuan dalam kerjasama dalam pelbagai bidang.

Pada 2022, Republik Korea Selatan telah disenaraikan sebagai rakan dagangan kelapan terbesar Malaysia manakala, hubungan dagangan antara Sabah dan Korea Selatan juga menunjukkan pertumbuhan yang baik, dengan eksport dagangan Sabah ke Korea Selatan adalah sebanyak RM4 bilion dan Sabah mengimport sejumlah RM900 juta dari Korea Selatan.

“Penyumbang terbesar kepada pelaburan itu adalah projek pembuatan kerajang tembaga SK Nexilis yang bernilai RM4.2 bilion dan ia salah satu pelaburan asing terbesar direkodkan di Sabah,” katanya.

Tambah beliau, pelaburan berimpak tinggi itu menjanjikan bukan sahaja peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah tetapi juga, memainkan peranan penting dalam memajukan industri di Sabah.

Mneurut beliau lagi, pelancong Korea Selatan juga menyumbang kepada ketibaan pelancong asing ke Sabah dengan seramai 95,966 orang pelancong direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun.

“Sehingga September ini, Sabah dihubungkan dengan dua bandar utama iaitu Incheon dan Busan di Korea Selatan dengan 23 penerbangan dan 4,409 kapasiti penumpang setiap minggu. Saya gembira Sabah menjadi destinasi pilihan rakyat Korea Selatan,” katanya.

Hajiji berkata, secara keseluruhan ketibaan pelancong ke Sabah antara Januari hingga Jun tahun ini adalah seramai 1.2 juta orang dengan RM2.45 bilion hasil pendapatan

Hadir sama adalah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya serta Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia,

Yeo Seung-Bae.

You May Also Like