TONGOD: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) harus berhati-hati dalam memilih rakan sekutu dalam membentuk kerjasama politik bagi mengelak ditikam daripada belakang.
Naib Presidennya, Datuk Masiung Banah berkata, dalam membentuk kerjasama politik, kepimpinan parti harus bertindak bijak bagi mengelakkan ‘pisang berbuah dua kali’.
“Justeru, ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) termasuk Presiden Gagasan Rakyat harus berwaspada dalam memilih rakan dalam regu politik, lebih-lebih lagi semasa proses membentuk kerajaan pada masa akan datang.
“Pengalaman lalu telah mendewasakan kita dimana rakan yang menjadi gandingan dalam politik dan kerajaan akhirnya menghianati kita.
“Kawan yang pada awalnya menjadi rakan kongsi bertukar menjadi dalang yang menikam kita daripada belakang hanya kerana mahu merampas kuasa,” katanya semasa pelancaran dan mesyuarat agung pertama parti itu yang dirasmikan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Dataran Rakyat Tongod, semalam.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut itu juga meminta Ketua Menteri menyenaraikan jalan raya Tongod ke Sook sejauh 46 kilometer untuk dinaik taraf menerusi pelan baharu projek Lebuhraya Pan Borneo.
Masiung berkata, jika cadangan itu dapat direalisasikan jarak perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tongod menerusi Keningau hanya mengambil masa kira-kira tiga jam setengah, berbanding enam jam jalan lama sedia ada dari Kota Kinabalu menerusi Ranau-Telupid hingga ke Tongod.
Majlis pelancaran dan perasmian masyuarat agung pertama Gagasan Rakyat Kuamut itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila lebih 5,000 penyokong menghadiri mesyuarat berkenaan.
Terdahulu, Ketua Menteri terdahulu melakukan upacara pecah tanah untuk bangunan baharu Mahkamah Anak-Anak Negeri daerah Tongod.
Projek bernilai RM5.1 juta itu dimulakan pembinaan pada Jun lalu dan dijangka siap pada Disember 2023.