PBS lakukan pembaharuan ke arah remajakan parti

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) memperkenalkan beberapa pembaharuan dalam usaha meremajakan parti yang kini sudah berusia hampir empat dekad.

Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili berkata, antara pembaharuan yang dilakukan termasuk mewujudkan pergerakan baharu untuk Pergerakan Belia dan Beliawanis bagi anak muda yang berusia 18 tahun dan ke atas.

Pergerakan baharu khusus buat belia ini akan membolehkan PBS menerima ahli berumur 18 tahun ke atas. Ia selaras dengan keputusan kerajaan lalu untuk menurunkan umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

“Adalah harapan saya agar golongan muda ini mendapat sokongan dan bimbingan dari ahli-ahli senior lain dalam parti.

“Usul ini dibuat sebagai salah satu strategi untuk meremajakan parti keramat ini. Kita harus berpandangan jauh, apatah lagi dalam senario politik pada masa ini di mana golongan muda semakin menunjukkan minat untuk berpolitik,” katanya dalam ucapan dasar yang dibacakan oleh Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Usul mewujudkan Pergerakan Belia dan Beliawanis itu telah dipersetujui untuk dimasukkan dalam Perlembagaan parti.

Menurut beliau lagi, parti itu tidak terlepas dari dugaan dan cabaran. Malah, parti tersebut sering dikatakan sebagai parti orang tua.

Namun, disebalik komen negatif yang diterima, PBS kekal berdiri teguh sehingga ke hari ini. Maka, sudah tiba masanya untuk mengubah persepsi ini dengan membawa pembaharuan dalam parti bagi memberi nafas baru, seperti yang diidamkan semua ahli.

Pengwujudan Pergerakan Belia dan Beliawanis itu antara usul yang diluluskan dalam Kongres Tahunan PBS Ke-38, di sini hari ini.

Di samping itu, pembaharuan lain yang dilaksanakan adalah mengadakan persidangan perwakilan sekali dalam tempoh tiga tahun, berbanding sekali setahun.

“Keputusan ini melibatkan pindaan beberapa rang undang-undang dalam perlembagaan parti kita untuk disesuaikan dengan perubahan pelaksanaan mesyuarat kita kelak,” jelasnya.

Usul lain yang turut diluluskan adalah memasukkan Majlis Penasihat Perdana di dalam Perlembagaan PBS dan majlis penasihat itu ditubuhkan sejak 12 November 2018.

Malah, perwakilan turut bersetuju dengan usul memansuhkan peruntukan melarang pelajar universiti dan kolej untuk menyertai PBS seiring dengan pindaan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Perwakilan juga secara sebulat suara bersetuju dengan langkah kerjasama antara PBS dan STAR dan perkara itu terpulang kepada Majlis Tertinggi untuk memutuskan terma dan syarat yang dirasakan sesuai.

Kesemua usul yang diluluskan itu dibentang dan dibahaskan oleh seramai 710 perwakilan yang hadir.

You May Also Like