Kerjasama STAR-PBS tidak semestinya perlu wujud gabungan

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Hasrat mewujudkan kerjasama antara Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak semestinya membawa kepada gabungan parti.

Langkah mewujudkan kerjasama adalah sesuatu yang baik namun, tidak bermakna perlu membentuk gabungan.

Itu pandangan Penasihat Perdana Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengenai cadangan STAR untuk bergabung dengan PBS bagi memperkukuhkan sokongan masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) menjelang pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, usaha mewujudkan kerjasama itu adalah satu idea yang baik jadi, jangan ada unsur sabotaj antara satu sama lain.

Misalnya apabila PBS diberi kawasan maka, rakan lain harus memberikan sokongan dan begitulah sebaliknya.

“Kerjasama adalah perkara yang baik, kerjasama bermakna berbincang antara satu sama lain dan kerjasama adalah bagi melindungi Sabah dan masa depan Sabah, terutama dalam Parlimen kerana kita kena suarakan (isu rakyat) di Parlimen.

“Jadi dalam konteks persaudaraan dan rasa cinta terhadap wilayah Sabah, kita mesti bekerjasama dengan lebih dekat sebagai sebuah pasukan,” katanya apabila mengulas tentang hasrat Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan untuk menggabungkan parti itu dan PBS bagi berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kongres Tahunan PBS ke-38, di sini hari ini.

Menurut beliau, hasrat untuk bergabung itu perlu dibincangkan di peringkat parti dan terserah kepada pucuk pimpinan sedia ada untuk memutuskan langkah seterusnya.

Pairin berkata, sebagai pemimpin Sabah adalah menjadi kewajipan mereka untuk melindungi hak dan masa depan Sabah.

Menurut beliau, ada kumpulan tertentu yang tidak menyokong hasrat murni PBS dalam memastikan hak Sabah dilindungi. Malah, ada sebahagian hak Sabah telah diambil semasa darurat.

Kini, darurat sudah berakhir maka, undang-undang yang diwujudkan semasa darurat tidak lagi terpakai dan hak-hak yang telah diambil itu sepatutnya dikembalikan semula.

Tambah beliau lagi, PBS bukan sekadar melihat kepentingan masyarakat KDM semata-mata, sebaliknya lihat kepentingan semua rakyat Sabah.

“Kita kena ada rasa cintakan rakyat dan melihat kepentingan Sabah. Kerjasama bermaksud mengenal pasti cara untuk memperkukuhkan dan menyatukan Sabah. Itu sebabnya PBS dipanggil Parti Bersatu Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, PBS mempunyai dua tahun lagi sebelum berhadapan dengan PRN seterusnya. Masa yang ada sangat singkat maka, kita kena memberi fokus dan sepenuh perhatian kepada pilihan raya.

“Sebagai ahli politik yang telah berpencen dan berhadapan dengan pelbagai pilihan raya maka, saya ingin memberi nasihat kepada pemimpin parti untuk terus berusaha mendapatkan sokongan daripada semua pengundi, bukan sekadar sokongan ahli-ahli kita.

“Kita kena bekerja keras dan sentiasa turun padang. Kita kena pastikan cawangan-cawangan parti juga terlibat secara langsung kerana mereka yang berada di lapangan,” katanya.

You May Also Like