TONGOD: Kerajaan negeri menyerahkan sejumlah 421 geran tanah anak negeri kepada penduduk daripada 15 buah kampung yang melibatkan jumlah keluasan 790.37 hektar.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan geran-geran tanah itu semasa lawatan kerjanya ke Tongod, hari ini.
Beliau berkata, antara kampung-kampung utama yang terlibat ialah Kampung Simpang Entilibon sebanyak 127 geran tanah, Kampung Imbak (94 geran), Kampung Kironggu (55 geran), Kampung Kotodon (43 geran) dan Kampung Alitang (37 geran).
Menurutnya, daripada jumlah geran tanah itu, sebanyak 343 geran adalah hasil daripada Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) dan bakinya 78 geran dari proses permohonan tanah biasa.
Hajiji turut menyerahkan warta tanah rizab kediaman anak negeri kepada empat buah kampung iaitu Kampung Tampasuk seluas 77.587 hektar, Kampung Imbak seluas 7.25 hektar, Kampung Linayukan (15.831 hektar) dan Kampung Namukon (4.047 hektar).
Hadir sama pada majlis itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri, Datuk Bernard Liew, Pegawai Daerah Tongod, Nelson Domil Oluk dan pemimpin masyarakat setempat.

Terdahulu, Hajiji melakukan pecah tanah projek pembinaan bangunan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Tongod di tapak projek berkenaan. Taklimat projek disampaikan itu disampaikan oleh pegawai daerah.
Projek bernilai RM5.1 juta itu dimulakan pembinaan pada Jun 2023 dan dijangka siap pada Disember 2024.
Dalam majlis sama, Hajiji turut menyerahkan tanah rizab tapak bangunan MAN Tongod kepada Ketua Daerah Tongod, OKK Jusison Saidin.