KOTA MARUDU: Golongan usahawan diminta meningkatkan kemahiran dalam pengurusan perniagaan jika berhasrat untuk kekal berdaya saing serta menjamin masa depan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, dunia perniagaan penuh dengan cabaran, khususnya perubahan dunia yang begitu pantas berkembang.
Katanya, usahawan bukan sahaja perlu berdaya tahan dan berani bersaing, malah bersedia menghadapi pelbagai masalah dan persekitaran ekonomi yang lembab dan tidak stabil.
“Golongan usahawan perlu mempersiapkan jati diri untuk kekal bertahan dalam dunia perniagaan. Mereka perlu meningkatkan kemahiran dalam pengurusan perniagaan.
“Ia berkait dengan ilmu pengetahuan dalam perniagaan seperti perhubungan kerjasama, pemasaran, promosi, isu semasa ekonomi dan input tambahan berkaitan produk atau perkhidmatan yang kita usahakan dalam perniagaan kita,” katanya semasa berucap merasmikan penutup Program Keusahawanan Wanita dan Belia di Dewan Komuniti Kota Marudu di sini.
Turut hadir dalam program anjuran Pertubuhan Ibu Tunggal Ibu Tunggal Kota Marudu dan Perbadanan Pinjaman Sabah yang disertai 200 orang peserta itu adalah Timbalan Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah, Datuk Surinam Sadikun.
Menurut beliau, usahawan perlu sentiasa menambah ilmu perniagaan dengan menjalankan kajian dan penelitian berkaitan perniagaan yang diusahakan.
“Sebagai usahawan, kita mesti bijak dalam memanfaatkan teknologi terkini. Melalui teknologi, kita meluaskan rangkaian perniagaan, kita tambah kekuatan dan rangkaian ekonomi kewangan kita, dan kita perkukuh nilai serta asas keusahawanan, kerana kita perlu ada target masing-masing, yang kita perlu capai,” ujarnya.
Redonah berkata, kerajaan tidak sekadar menumpukan kepada inisiatif melahirkan usahawan semata-mata, tetapi juga perlu memberikan perhatian kepada usaha membentuk usahawan-usahawan yang memiliki daya tahan dan daya saing yang tinggi.