Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dipercepat selepas kunjungan Agong

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

PUTATAN: Pembinaan jajaran Lebuhraya Pan Borneo di Sabah akan menunjukkan perkembangan yang lebih pantas dengan berakhirnya siri jelajah Kembara Kenali Borneo pada 13 September lalu.

Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo itu disiapkan dengan pantas membuatkan kerajaan Persekutuan komited dalam memastikan pakej-pakej di bawah fasa satu yang berbaki dilaksanakan segera.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, selepas jelajah Al-Sultan Abdullah itu berakhir, Perdana Menteri mengumumkan pakej-pakej kerja pembinaan yang masih berbaki akan dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.

Maka, kerajaan Sabah berharap ia dapat direalisasikan. Malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof juga telah menyatakan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo akan dilakukan menerusi kaedah tende pra-kelayakan bagi menjimatkan masa melantik kontraktor.

Di peringkat kerajaan negeri pula, pihaknya akan mengemukakan kriteria-kriteria pra-kelayakan tersebut kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) di peringkat Persekutuan untuk diambil perhatian dan diguna pakai.

Itu antara usaha yang akan dilakukan dalam merealisasikan hasrat Yang di-Pertuan Agong untuk melihat jajaran Lebuhraya Pan Borneo itu siap bagi memacu pertumbuhan ekonomi di Sabah.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata, seperti semua sedia maklum, Al-Sultan Abdullah telah menerima aduan daripada rakyat jelata mengenai keperluan-keperluan infrastruktur seperti jalan raya yang lebih baik, bekalan air yang lebih stabil serta bekalan elektrik.

“Selain itu, ada jambatan yang runtuh di Paginatan dan Al-Sultan Abdullah bertitah dalam majlis makan malam di SICC mengenai jambatan tersebut.

“Pembinaan jambatan itu sebenarnya telah dimasukkan di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Tapi, keutamaannya diletakkan di bawah sedikit.

“Namun, hasil aduan yang diajukan terus kepada Yang di-Pertuan Agong jadi, kita berharap pembinaan itu akan dapat diutamakan,” katanya selepas majlis penutupan sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat daerah Putatan, di sini semalam.

Secara keseluruhan, fasa satu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah melibatkan 35 pakej yang bermula dari Sindumin, Sipitang hingga ke Tawau dengan jarak lebih 700 kilometer.

Kini, 15 pakej sedang berjalan dan dijangka siap sepenuhnya sebelum hujung tahun depan manakala, baki 20 pakej masih menunggu kelulusan untuk pelaksnaaan.

You May Also Like