Pairin tidak akan kembali sebagai Presiden PBS

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Tan Sri Joseph Pairin Kitingan tidak akan kembali sebagai Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) sebaliknya, akan kekal sebagai Penasihat Perdana parti.

Itu respon Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam mengenai khabar angin Tan Sri Pairin akan kembali memegang jawatan Presiden bagi menggantikan Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili.

“Tan Sri (Pairin) tidak akan kembali (jadi Presiden) kerana Presiden telah melantik pasukan khas bagi menguruskan parti semasa ketiadaannya dan Presiden 110 peratus berada di belakang kami.

“Jadi, pada dasarnya beliau (Maximus) yang menguruskan parti kerana kami bergerak di bawah arahannya,” katanya semasa sidang akhbar sempena Kongres Tahunan PBS kali ke-38, di sini hari ini.

Beliau berkata, sempena kongres perwakilan itu, Pairin akan hadir bagi merasmikan kongres yang akan turut dihadiri oleh Maximus selaku Presiden PBS. Walau bagaimanapun, ucapan dasar presiden akan dibacakan olehnya.

“Pairin menjadi Penasihat Perdana PBS sejak berundur dari jawatan Presiden dan kami juga sentiasa mendapatkan nasihatnya dari masa ke semasa. Beliau (Pairin) adalah pemimpin di dalam parti jadi, bukan perkara baharu untuk beliau datang merasmikan kongres.

“Malah, sebelum ini Pairin juga hadir ke majlis ulang tahun PBS jadi, tiada isu tentang perkara tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai menafikan khabar angin bahawa Maximus akan meletak jawatan sebagai Presiden parti.

Walaupun tahap kesihatan Maximus menjadi kebimbangan ramai namun, secara fizikalnya, Presiden PBS itu masih lagi dalam keadaan yang baik dan sentiasa berhubung dengan pemimpin parti yang lain bagi memastikan perjuangan parti diteruskan.

“Presiden masih lagi berhubung secara dekat dengan kami bagi menasihati kami apa yang perlu dilakukan. Beliau masih lagi terlibat dalam pengurusan parti biarpun ada persepsi, tiada apa yang perlu dirisaukan,” katanya.

Justeru, Pasukan Khas yang dianggotai enam Ahli Majlis Tertinggi (AMT) telah diamanahkan mengalas tanggungjawab menguruskan parti di bawah arahan Presiden.

Pasukan Khas itu dianggotai oleh tiga Timbalan Presiden PBS iaitu beliau sendiri, Datuk Jahid Jahim dan Datuk Seri Panglima Dr Yee Moh Chai serta tiga AMT lain iaitu Setiausaha Agung, Datuk Julita Mojungki; Bendahari Agung, Datuk Lu Kim Yen dan Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai.

Selepas Kongres Tahunan itu, Presiden akan melihat kembali keperluan untuk melanjutkan tempoh Pasukan Khas berkenaan, sama ada diteruskan atau sebaliknya.

You May Also Like