Kongres PBS bincang langkah perkukuh kerjasama dalam GRS

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kongres Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) kali ke-38 pada Sabtu ini antara lain bagi membincangkan tentang usaha memperkukuhkan kerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Mojungki berkata, dalam persidangan kali ini kepimpinan parti mahu mendengar cadangan dan pandangan perwakilan mengenai pendekatan yang boleh diambil bagi mengeratkan lagi hubungan antara parti dalam GRS.

Usaha yang diambil itu akan mengukuhkan lagi kekuatan dan kestabilan politik di Sabah.

“Perkara itu akan dikupas dengan lebih mendalam pada persidangan kali ini. Persidangan sebegini penting kerana PBS telah memberikan impak yang cukup penting kepada politik Sabah.

“Dalam persidangan ini, kita juga akan membawa beberapa usul penting antaranya memasukkan Majlis Penasihat Perdana dalam Perlembagaan parti serta memansuhkan peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang penglibatan pelajar universiti dalam kegiatan parti politik.

“Akta itu sudah tidak relevan lagi maka, itu antara perkara yang kita akan keluarkan daripada Perlembagaan parti,” katanya dalam sidang media sempena Kongres Tahunan Perwakilan PBS, di sini hari ini.

Menurut Julita, dengan pemansuhan itu, PBS terbuka untuk menerima penglibatan daripada generasi baharu untuk mengambil bahagian dalam politik khususnya di Sabah.

Katanya, seramai 800 orang perwakilan daripada lebih 64 bahagian akan hadir pada Kongres Tahunan PBS yang akan diadakan di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA pada Sabtu ini.

Persidangan kali ini akan diisi dengan beberapa aktiviti bermula pada Jumaat ini termasuk perlawanan bola sepak persahabatan bersama media dan pertandingan boling dan golf.

Sementara itu, Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut berkata, pergerakan Pemuda akan membahaskan tentang pengwujudan sayap baharu iaitu belia dan beliawanis. Isu ini akan dibahas dengan semua perwakilan Pemuda sebelum diangkat kepada persidangan induk.

Katanya, seramai 320 perwakilan Pemuda telah mengesahkan kehadiran bagi Persidangan Perwakilan Pemuda pada Sabtu ini.

You May Also Like