KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi membincangkan idea mengenai gabungan parti itu dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, jawatankuasa itu akan membincangkan tentang idea bekerjasama dengan STAR dan jawatankuasa itu akan membabitkan dua atau tiga ahli PBS, begitu juga dengan STAR.
Walau bagaimanapun, jawatankuasa itu hanya akan ditubuhkan selepas Kongres Tahunan Perwakilan PBS Ke-38 pada Sabtu ini.
Beliau berkata, pimpinan PBS mahu mengambil kira pandangan perwakilan terlebih dahulu mengenai isu kerjasama tersebut dan selepas itu barulah perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT).
Menurut Joachim, tiada sebarang garis masa ditetapkan bagi membincangkan tentang gabungan tersebut namun, kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bersama parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diputuskan sebelum pilihan raya.
Namun, perkara itu akan diumumkan sendiri oleh Pengerusi GRS apabila tiba pada masanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, idea untuk bergabung perlu mengambil kira pandangan di peringkat akar umbi dan daripada situ, barulah perkara itu akan dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi.
“Perkara ini perlu dilihat sebab pada akhirnya, kami mahu memastikan kami dapat melakukan yang terbaik pada PRN akan datang dan paling penting, kami adalah sebahagian daripada GRS maka, idea sebegini akan memperkukuhkan kerjasama dalam GRS.
“Ini bukan sesuatu yang baharu kerana dulu idea bergabung bersama Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) juga pernah dicadangkan,” jelasnya.
Penubuhan jawatankuasa itu dilakukan susulan cadangan dikemukakan oleh Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan pada Julai lalu yang menyatakan kesediaan bergabung dengan PBS sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Jeffrey berkata, langkah itu sebagai pendekatan bagi mengukuhkan kedua-dua parti yang berasaskan Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) sebelum PRN Sabah ke-17.