KOTA KINABALU: Pada 26 September ini genap tiga tahun Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerajui pemerintahan di Sabah.
Sepanjang tempoh itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) begitu komited memulihkan ekonomi negeri yang terjejas teruk semasa pandemik Covid-19.
Walau berhadapan dengan pelbagai cabaran yang menganggu gugat kestabilan politik dan ekonomi di Sabah, Hajiji ternyata berjaya membawa Sabah ke satu tahap yang lebih baik hingga memberi keyakinan kepada pelabur untuk datang ke Sabah.
Keyakinan pelabur terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah itu juga terbukti apabila Sabah merekodkan pelaburan tertinggi dalam sejarah Sabah pada tahun lalu yang bernilai RM118.1 bilion.
Setakat Jun lalu, pelaburan yang diluluskan di Sabah berjumlah RM9 bilion dan ia meletakkan Sabah di tangga kelima bagi pelaburan yang diluluskan di seluruh negara.
Kejayaan membawa masuk pelaburan ke Sabah itu hasil daripada Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada Mac 2021.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, pelan hala tuju sebegitu membuktikan Hajiji sebagai seorang pemimpin yang berkaliber dalam membentangkan peta perancangan untuk membangunkan Sabah.
“Dalam konteks SMJ, kita perlu berikan kredit kepada kepimpinan sekarang yang menampakkan Sabah mempunyai pelan yang jelas hala tuju dan urus tadbirnya.
“Jika dilihat ada pemimpin terdahulu yang gagal membentangkan pelan hala tuju urus tadbir mereka sehingga kerajaan berubah,” katanya.
Kini, antara perubahan ketara yang boleh dilihat adalah keutamaan Sabah dalam membawa masuk lebih banyak pelaburan yang boleh menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.
Antaranya adalah pelaburan dalam sektor perindustrian daripada SBH Kibing Solar sebagai pengeluar kaca solar yang terletak di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Dalam tempoh singkat ini juga menyaksikan SK Nexilis dari Korea Selatan melabur untuk mengeluarkan kerajang tembaga di Sabah dan pembukaan kilang ini menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan.
“Untuk itu, anak-anak Sabah telah terpilih untuk menjalani up-skilling dan re-skilling di Korea Selatan untuk berkhidmat dalam firma tersebut,” katanya.
Di bawah inisiatif hala tuju (SMJ) juga menyaksikan syarikat tempatan dari Selangor, Linaco Resources Sdn Bhd (Linaco) mengusahakan projek penanaman kelapa di kawasan seluas 2,000 hektar bernilai RM400 juta. Ia mampu menyediakan lebih 4,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta dianggarkan memberikan pulangan sehingga RM1.2 bilion setahun.
Kedua-dua pelaburan yang dibawa masuk ke Sabah itu menunjukkan keupayaan Sabah dalam menyeimbangkan pembangunan bukan hanya dalam sektor perindustrian tetapi juga, dalam sektor pertanian.
Kuok Tiung berkata, situasi itu menunjukkan kerajaan mengambil kira soal keterjaminan makanan yang merupakan salah satu keutamaan kerajaan Sabah berdasarkan pengalaman yang dilalui semasa pandemik Covid-19 yang lalu.