KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan untuk menjadi negeri yang mempunyai bekalan kuasa berdaya harap dengan askes yang saksama serta liputan menyeluruh pada harga yang mampu milik pada masa akan datang.
Ia selaras dengan aspirasi kerajaan untuk terus menyediakan bekalan elektrik kepada rakyat sambil memastikan kemampanan untuk masa depan Sabah.
Usaha sebegitu dilihat mampu direalisasikan menerusi pelancaran Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini.
Beliau berkata, SE-RAMP 2040 yang digubal oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) Sabah itu merangkumi pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengimbangi keperluan tenaga bagi memastikan ia terjamin, mampu milik dan kelestarian alam sekitar.
“Kita tahu dan sedar bahawa isu bekalan elektrik di Sabah telah membelenggu rakyat sejak sekian lama. Justeru, kerajaan komited untuk menangani isu yang diwarisi ini dan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya.
“Tambahan pula, dengan dasar mesra pelabur Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), keperluan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik dan air kekal menjadi keutamaan.
“Pelan ini sudah tentu akan membuka jalan kepada kami untuk meningkatkan bekalan elektrik untuk keperluan industri dan saya mahu ST Sabah melaksanakan mandat ini ke tahap terbaik untuk kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.
Hajiji berkata, pelan induk itu menggariskan hala tuju dan inisiatif strategik negeri untuk bergerak ke hadapan berikutan jangkaan kerajaan negeri akan mengambil alih kuasa kawal selia pembekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui daripada kerajaan Persekutuan pada Januari tahun depan.
Menurut beliau, di bawah pelan berkenaan, Majlis Tenaga Sabah akan ditubuhkan dan dipengerusikan olehnya untuk memantau, menyokong dan memberi panduan ke atas pelaksanaan inisiatif jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang dirancang.
“Ia juga bagi melengkapkan Dasar Tenaga Negara yang dilancarkan tahun lalu dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara 2050 (NETR – National Energy Transition Roadmap) yang dilancarkan pada Ogos lalu,” tambah beliau.
Jelas beliau, kerajaan negeri berjaya menarik beberapa pelabur berimpak tinggi, seperti projek pembuatan kerajang tembaga SK Nexilis, pengeluar kaca solar Kibing, kilang pemprosesan kelapa bersepadu Linaco dan projek keluli hijau, Esteel.
Dengan adanya SE-RAMP 2040, Sabah berharap dapat menarik lebih ramai pelabur dan mewujudkan limpahan ekonomi di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan Sabah, katanya.
Hajiji berkata, penubuhan ST Sabah melalui Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Enakmen Bekalan Gas 2023 berikutan penyerahan kuasa kawal selia pembekalan gas dan juga fungsi Suruhanjaya Tenaga daripada kerajaan Persekutuan pada Januari tahun ini adalah sejarah bagi Sabah.
Katanya, ini menunjukkan komitmen dan kerjasama tinggi kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Pelan Induk ini juga merupakan salah satu kejayaan kerajaan negeri mendapatkan hak kita di bawah MA63.
Hajiji sekali lagi menyatakan kerajaan negeri akan mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu masing-masing daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan dan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) tiga bulan dari sekarang pada 3 Januari 2024.
Mengulas lanjut katanya, walaupun tarikh pengambilalihan kuasa kawal selia sepenuhnya ini hanya akan berkuatkuasa pada tahun hadapan namun pihak ST Sabah telah maju setapak ke hadapan untuk menyediakan pelan induk ini dari aspek pembekalan gas dan elektrik termasuk tenaga boleh baharu di negeri Sabah untuk 17 tahun akan datang.
“Saya menyokong penuh SE-RAMP 2040 kerana ia akan menyediakan garis panduan untuk kerajaan dan pemain dalam sektor gas dan elektrik. Ini akan membolehkan industri tenaga Sabah dipantau dengan teliti dan terus berkembang untuk manfaat orang ramai.
“Pelan Induk itu adalah kebanggaan kerajaan negeri kerana kita akan dapat melakar laluan kita untuk memacu pembangunan sektor gas dan bekalan elektrik kerana kitalah yang lebih memahami keperluan tenaga negeri kita,” katanya.