Kerajaan Sabah hargai sokongan berterusan masyarakat Cina

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Walaupun telah berjaya mengutip hasil yang besar namun, kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus membawa lebih banyak pelaburan ke Sabah.

“Kejayaan kita terbukti dengan kutipan hasil yang besar dan kerajaan negeri tidak akan berpuas hati, tetapi akan terus membawa lebih banyak pelaburan ke negeri ini yang boleh mewujudkan lebih banyak spin-off ekonomi,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa menekankan dasar keadilan dan prihatin dalam semua aspek bagi membantu masyarakat di Sabah, tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau berkata demikian pada Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Pusat ke-24 dan Bahagian Wanita Keenam Gabungan PersatuanPersatuan Hokkian Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Putera Ballroom Taman Tun Fuad Bukit Padang pada Ahad.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe.

Menurut Hajiji, kejayaan yang dicapai pada hari ini turut disumbang oleh masyarakat Cina yang sentiasa bersama-sama kerajaan sebagai rakan kongsi dalam setiap sektor pembangunan.

Maka, beliau mahu masyarakat Tionghua di Sabah terus bersama-sama kerajaan memajukan negeri ini kerana ramai dalam kalangan mereka termasuk etnik Hokkien terbukti pandai dan pintar dalam urusan perniagaan.

Katanya, Hokkien adalah etnik Cina kedua terbesar di Sabah, selain daripada Hakka. Malah, Hokkien juga adalah etnik Cina yang terbesar di negara ini.

Hajiji berkata, usaha juga akan giat dipertingkatkan termasuk mempertingkatkan peluang pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah.

“Di sinilah peranan daripada masyarakat Tionghua termasuk etnik Hokkien untuk turut sama mengambil peluang dalam sektor pembangunan di negeri ini,” tegasnya.

Menurut beliau, dengan sokongan masyarakat Cina itu, ia membolehkan kerajaan negeri berada di landasan yang betul dalam membawa pembangunan di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Tambah beliau lagi, beliau berharap masyarakat Hokkien di Sabah di bawah pimpinan Tan Sri TC Goh turut bersama memberikan sumbangan dalam pembangunan ekonomi negeri Sabah.

“Justeru pada tahun ini kerajaan memperuntukkan geran sebanyak RM54.05 juta kepada sekolah-sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah.

“Komitmen ini jelas menunjukkan kerajaan peka akan keperluan masyarakat dan komited membantu tanpa mengira bangsa, keturunan atau agama,” katanya.

You May Also Like