KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencapai banyak kejayaan dari segi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperjuangkan dalam tempoh dua tahun pertama pemerintahannya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, beberapa peristiwa penting telah dicapai oleh kerajaan negeri berhubung MA63 termasuk dalam sektor minyak dan gas.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan perjanjian penubuhan Malaysia dapat dilaksanakan.
Katanya, kerajaan GRS telah bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah.
“Beberapa kejayaan yang dicapai Kerajaan Negeri dalam tempoh lebih dua tahun melalui Pelan Pembangunan Hala Tujuh Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor pembangunan ekonomi yang mana perdagangan Sabah pada tahun lalu mencapai rekod tertinggi dalam sejarah iaitu bernilai RM118.1 bilion berbanding RM 87.2 billion pada tahun 2021.
“Peningkatan sebanyak 35.4 peratus ini adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini dan saya yakin, nilai perdagangan kita akan terus meningkat naik.
“Sabah juga berjaya menarik lebih daripada RM33 bilion pelaburan dan memperoleh hasil RM7 bilion, ini merupakan pencapaian yang tertinggi sejak mencapainya kemerdekaan.
“Usaha-usaha ini akan giat dipertingkatkan lagi termasuk mempertingkatkan peluang pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah,” katanya semasa majlis sambutan Hari Malaysia peringkat negeri tahun 2023 di Padang Merdeka malam tadi.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri akan terus membawa pembangunan dan kemajuan termasuk berusaha menyelesaikan isu serta masalah yang dihadapi rakyat sejak sekian lama di negeri ini.