KOTA KINABALU: “Apa yang pembangkang tidak buat dulu, kita akan cuba laksanakan bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) padi dan beras di Sabah,”.
Itu jaminan Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali dalam usaha meningkatkan tahap SSL agar kebergantungan terhadap beras import dapat dikurangkan.
Katanya, sebagai Ahli Parlimen Sabah (Papar), beliau akan membantu kerajaan negeri khususnya Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) yang diketuai Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan bagi meningkatkan pengeluaran padi di Sabah.
Beliau bersyukur kerajaan negeri khususnya Jeffrey Kitingan dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu beras putih tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu berkata, kedua-dua kementerian akan berbincang bagi mencari kaedah penyelesaian jangka panjang tentang isu beras tempatan di Sabah.
“Kita tahu kadar SSL padi dan beras di Sabah sekitar 20 peratus tapi, Sabah berpotensi besar untuk meningkatkan pengeluaran beras tapi, kita perlukan bantuan kerajaan Persekutuan dari segi sistem pengairan, jentera dan baja.
“Ia kerana di Sabah, kos penghasilan padi agak tinggi berbanding di Semenanjung maka, pendeaktan secara holistik perlu diambil bagi meningkatan pengeluaran beras di Sabah,” katanya semasa program jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia, di sini semalam.
Menurut beliau, bekalan beras cukup penting jadi, kalau ada pembangkang mahu hentam, apa mereka tidak buat dulu, isu yang diwarisi kerajaan hari ini akan cuba tangani termasuk meningkatkan SSL padi dan beras Sabah merentasi pelbagai aspek.
Armizan berkata, apabila SSL padi dan beras meningkat, Sabah tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada beras import daripada luar. Apabila SSL tinggi maka, kawalan harga di bawah Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) boleh dilaksanakan di Sabah.
Pada masa ini, Sabah tidak masuk dalam senarai Perintah Beras tersebut maka, kerajaan negeri harus memohon kepada Persekutuan agar memasukkan Sabah dalam Akta Kawal Selia Padi dan Beras (Akta 522) 1994, Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga).
Biarpun pengeluaran beras tempatan Sabah hanya pada kadar 20 peratus tapi, Sabah boleh memohon daripada Semenanjung yang mempunyai 65 peratus SSL padi dan beras agar boleh membawa masuk beras ke Sabah untuk tawarkan beras putih tempatan pada kadar RM2.60 sekilogram.