Hajiji ajak rakyat Sabah pelihara keharmonian dikecapi hari ini

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Menyedari proses pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 berlaku selepas pemimpin terdahulu menempuh pelbagai cabaran maka, keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi hari ini perlu terus dipertahankan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembentukan Malaysia bukan berlaku dalam sekelip mata sebaliknya, atas segala usaha dan keringat pemimpin-pemimpin ketika itu dalam menempuh pelbagai liku, rintangan dan cabaran untuk merealisasikannya.

Kini, setelah genap 60 tahun pembentukan Malaysia, negeri Sabah khususnya telah mengecapi pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai aspek.

Justeru katanya, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk memelihara dan mempertahankan kedamaian, keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi kini.

Hajiji berkata, kesatuan dan perpaduan antara rakyat merupakan kunci kepada kejayaan negara. Perpaduan juga aset paling penting dalam memperkukuh kedaulatan dan keamanan negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam sempena sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di Padang Merdeka malam tadi.

Menurut beliau, sambutan Hari Malaysia 2023 bertemakan “Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” adalah aspirasi tekad dan komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu-padu serta kehidupan yang aman serta sejahtera.

Selaras dengan konsep Malaysia Madani, ia adalah kunci utama rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan dan kemodenan berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat-menghormati dan ihsan.

“Semoga Malaysia terus aman dan harmoni. Rakyatnya hidup bersatu-padu dan saling bertoleransi,” katanya.

Hadir sama dalam sambutan itu adalah Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni; Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya.

You May Also Like