Tiada diskriminasi dalam dapatkan akses pendidikan di Sabah-Hajiji

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KENINGAU: Kerajaan negeri melaksana pelbagai inisiatif pendidikan bagi memastikan tiada golongan yang didiskriminasi dalam mendapatkan akses pendidikan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha sebegitu perlu agar pembangunan pendidikan anak bangsa di negeri ini dapat dilaksanakan seiring dengan Inisiatif Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat sebagai salah satu Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata, penekanan terhadap pembangunan modal insan dititikberatkan ke arah mewujudkan rakyat yang sihat, berjati diri, berilmu pengetahuan, berinovasi dan berintegriti.

“Ini juga selaras dengan matlamat gagasan Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, ke arah membentuk sebuah negara yang maju, makmur, bertamadun tinggi, aman dan sentosa,” katanya semasa merasmikan Majlis Istiadat Konvokesyen Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Ke-17 hari ini.

Malah katanya, kerajaan negeri turut melahirkan inisiatif yang tidak hanya memfokuskan pemberian bantuan kewangan, bahkan turut menyediakan pendekatan yang berbeza bertujuan memaksimumkan hasil usaha kerajaan bagi membantu setiap lapisan masyarakat dalam pembangunan pendidikan.

Menurut beliau lagi, IPDAS juga perlu menerokai kerjasama dalam bidang inovasi pendidikan dengan kerajaan negeri seiring dengan perkembangan pendidikan tanpa sempadan.

Hajiji berkata, di peringkat kerajaan, pelbagai inisiatif telah diusahakan termasuk mewujudkan Sabah Creative Economy and innovation Centre (SCENIC).

“Ia merupakan satu peluang besar untuk IPDAS menerokai ilmu pendigitalan yang digabungkan dengan ilmu teras dalam melahirkan anak bangsa yang berketrampilan dan memenuhi keperluan hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bagi menyokong institusi pemberi pendidikan tinggi, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menyediakan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM2,000 kepada pelajar dari golongan kurang berkemampuan.

Katanya, BUDI merupakan satu solusi dalam memastikan tiada diskriminasi bagi mana-mana golongan terhadap akses kepada pendidikan yang berkualiti, khususnya golongan yang kurang berkemampuan.

“Di samping itu, kerajaa juga melaksana program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) yang menyasarkan kelompok mahasiswa kurang mampu dari golongan e-kasih yang sedang menyambung pengajian di IPT melalui peruntukan sebanyak RM2 juta bagi sasaran pemberian 1000 unit komputer riba,” tambahnya.

Katanya, kerajaan negeri melalui kerjasama agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga telah membangunkan Program Felo Belia yang bertujuan pembinaan potensi diri, keintelektualan dan kecekalan belia dan beliawanis Sabah dengan menempatkan mereka di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terpilih untuk diberi pendedahan tentang alam kerjaya dan cabaran sebenar dalam realiti pekerjaan.

Justeru, beliau berharap graduan dan ibu bapa mengambil peluang terhadap dasar-dasar dan perancangan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri, agar ia menjadi nadi penggerak mentransformasikan rakyat ke arah masyarakat yang progresif, maju dan sejahtera.

Hajiji turut menghargai komitmen kerajaan Persekutuan yang sentiasa berusaha membantu rakyat Sabah melalui pelbagai peruntukan pembangunan yang berterusan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) termasuk meluluskan projek pembangunan IPDAS Keningau fasa dua dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.

“Saya juga berharap agar pihak Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembangunan IPDAS Kampus Kudat Fasa Dua melalui peruntukan RMK13 supaya ia turut memanfaatkan masyarakat sekitar seterusnya memenuhi agenda pendidikan dan peluang pekerjaan,” tambahnya.

You May Also Like