Sabah di landasan tepat dalam membangun ekonomi

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Pertumbuhan ekonomi Sabah berada pada landasan tepat seiring dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Sabah (SMJ) memasuki tahun kedua pelaksanaan.

“Dengan jaminan kerajaan Persekutuan bahawa fokus akan diberikan bagi pembangunan di Sabah dan Sarawak, kita tidak perlu menunggu lama untuk menikmati pembangunan ekonomi yang cukup signifikan.

“Kejayaan ini menggambarkan komitmen berterusan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor disamping hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan,” kata kata Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Yee Moh Chai mengenai pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Pada awal minggu ini, akhbar The Star melaporkan semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang memberi fokus kepada inisiatif dan projek di bawah RMK12.

Perdana Menteri itu berkata, kerajaan Persekutuan telah membuktikan komitmen dalam menangani isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah, yang dijangka akan dimuktamadkan pada Januari tahun depan.

Selepas itu, kerajaan Sabah akan mempunyai kuasa kawal selia bekalan elektik dan gas.

Anwar berkata, projek pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta menaik taraf sistem bekalan elektrik Gugusan Felda Sahabat yang bernilai RM195 juta akan membantu meningkatkan kapasiti bekalan elektrik di negeri ini.

Yee, yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, kejayaan-kejayaan itu menunjukkan GRS cukup komited dalam menuntut hak-hak Sabah.

Ia berbeza dengan pemerintahan kerajaan terdahulu yang seperti lembu dicucuk hidung kerana terlalu mengikut arahan kerajaan Persekutuan. Kerajaan yang memerintah Sabah hari ini boleh disifatkan berdiri setara dengan kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, hasrat rakyat ingin melihat Sabah diperintah oleh parti tempatan juga menjadi realiti menerusi usaha Hajiji menggabungkan parti-parti tempatan di bawah gabungan GRS.

PBS juga merupakan sebahagian daripada tujuh parti komponen GRS bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada tahun lalu.

Sejak Hajiji menjadi Ketua Menteri tiga tahun lalu, banyak pembangunan dan kejayaan yang telah dicapai di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020.

“Kelulusan bagi mendapatkan kuasa dan hak Sabah seperti dipersetujui MA63 juga akhirnya menjadi realiti.

“Antara kejayaan lain yang dicapai adalah Kabinet Persekutuan bersetuju memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada kerajaan Sabah dan memberi kuasa kepada kerajaan negeri bagi melaksana projek pembangunan bernilai RM50 juta ke bawah tanpa perlu kelulusan Persekutuan.

“Perkara sebegini tidak berlaku semasa pemerintahan kerajaan Warisan,” katanya.

Pelan Hala Tuju SMJ menggariskan tiga teras utama bagi membangunkan negeri ini bermula dari 2021 hingga 2025.

Berdasarkan slogan SMJ, huruf S mewakili sektor utama ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, diikuti huruf M yang mewakili modal insan dan kesejahteraan rakyat, manakala huruf J mewakili jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

Untuk rekod, Sabah mencatatkan hasil melebihi RM12 bilion dalam tempoh dua tahun sebelum ini.

You May Also Like