Program Transformasi Sekolah bantu tingkat kecemerlangan pendidikan Sabah

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kecemerlangan pendidikan di Sabah dijangka akan terus meningkat dengan pelaksanaan Program Tranformasi Sekolah 2025 (TS25).

Malah, kolokium itu juga boleh dimanfaatkan demi kemenjadian murid serta sekolah di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, program TS25 itu mampu melahirkan guru berkualiti dan persekitaran Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang lebih kondusif dengan sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti.

Beliau berkata, program berkenaan akan menjayakan usaha ke arah melahirkan modal insan unggul melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dengan bimbingan guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi.

“Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan dan menyokong Program TS25 dalam usaha membantu meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

“Hasil kolokium itu nanti diharap dapat dikongsikan dan digunakan demi kecemerlangan dan kemenjadian murid serta sekolah khususnya di Sabah,” katanya pada majlis penutupan Kolokium TS25 Peringkat Antarabangsa 2023, di sini hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Program TS25 adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.

Menurut Hajiji, kolokium yang bertemakan “Tranformasi Sekolah Melonjak Kecemerlangan Daerah” selama 2 hari itu melibatkan penyertaan dan pembentang perkongsian amalan terbaik Transformasi TS25 dari peringkat sekolah, pendidikan daerah dan negeri serta institusi-institusi pendidikan luar negara.

“Sesungguhnya, platform dari sekolah ke persada antarabangsa ini memenuhi tuntutan cabaran transformasi globalisasi dalam pendidikan agar pendidik di sekolah-sekolah TS25 lebih bermotivasi untuk terus transform, berkarya, berkongsi kejayaan dari amalan terbaik, dapatan-dapatan kajian, intervensi, kreativiti dan inovasi yang mampu memberi tambah nilai dalam mengatasi isu-isu pendidikan dan pengurusan dalam kalangan warga pendidik.

“Kelangsungan pengantarabangsaan kolokium ini juga dapat memastikan kesinambungan penyelidikan dan inovasi dan pendidikan kita terus subur berkembang.

“Ramai dalam kalangan pendidik kita di sekolah yang mempunyai hasil dapatan kajian berimpak tinggi, strategi pengajaran dan pembelajaran bermakna, inovasi yang mampu mengurangkan atau mengatasi isu dengan impak yang besar di dalam bilik darjah tetapi tidak dikongsi dan disebarkan untuk dijadikan amalan terbaik oleh warga pendidik yang lain,” jelasnya.

Hajiji berharap melalui kolokium itu semakin banyak penghargaan dan pengiktirafan penyelidikan, inovasi dan amalan baik dapat dimantapkan sehingga menjadi bitara budaya kerja cemerlang.

Katanya, penyertaan peserta dan pembentang kolokium TS25 merupakan dinamika paradigma positif dalam tranformasi kecemerlangan pendidikan yang akan membawa impak kecemerlangan pendidikan di peringkat daerah, negeri dan negara.

You May Also Like