TUARAN: Pergerakan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan ditubuhkan di setiap zon seluruh Sabah bagi membolehkan agenda mendekati rakyat dapat dijayakan dengan lebih berkesan.
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, melalui penubuhan jentera di setiap zon membolehkan mereka mengadakan kursus-kursus kepada jentera Wanita dengan lebih mudah.
Beliau berkata, Wanita GRS juga tidak harus leka dan perlu terus bekerja untuk rakyat.
“Kita kena terus bekerja, perkukuhkan perpaduan, bersatu hati dalam komponen GRS dan elakkan perselisihan faham serta perpecahan dalam kalangan kita.
“Sebab itu, peranan dan tanggungjawab wanita GRS amat penting dan cukup besar sekarang. Jentera parti GRS amat memerlukan wanita untuk menyampaikan mesej dan perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS semalam.
Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Flovia Ng, Datin Mary Yong, Norizah Mohammad Noor, Puan Sri Diana Diego, Glenna Wong Kuen Yin, Norizian Dumit, Naib Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Aziah Atoh, Penolong Setiausaha GRS, Salmah Sait serta ahli jawatankuasa GRS Wanita Sabah.
Azizah berkata, dengan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh semua wanita komponen parti GRS, gabungan itu akan terus menjadi satu pasukan yang kuat.
Dalam mesyuarat itu, Azizah memaklumkan bahawa Wanita GRS telah menetapkan tarikh untuk siri Jelajah Wanita GRS ke zon-zon sehingga hujung tahun. Jelajah itu memberi ruang kepada mereka untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi.