Pergerakan Wanita perlu bantu GRS menang PRN akan datang

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

TUARAN: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disaran untuk terus membantu kerajaan mempertahankan mandat rakyat dan seterusnya membolehkan GRS mencipta kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, semua jentera parti khususnya Wanita GRS tidak boleh leka dan berpecah sebaliknya, perlu terus bekerja dan mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

“Peranan dan tanggungjawab wanita GRS amat penting dan cukup besar. Jentera parti GRS amat memerlukan wanita untuk menyampaikan mesej dan perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini.

“Bagi saya, Program Jelajah Wanita GRS ini amat penting untuk menjelaskan dasar, perjuangan dan kejayaan kerajaan GRS selama kira-kira tiga tahun menerajui negeri ini, di semua zon di Sabah yang akan dilawati,” katanya semasa majlis pelancaran Jelajah Wanita GRS Zon 1B Parlimen Tuaran dan Kota Belud di Dewan Sri Sulaman, di sini hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Menurut Hajiji, wanita GRS adalah tonggak kepada kekuatan parti yang mendokong kerajaan pada hari ini, bersama rakan-rakan daripada parti lain.

Justeru, pergerakan wanita parti komponen dalam GRS perlu terus meningkatkan persefahaman dan perpaduan yang sedia terjalin utuh, untuk menjadi satu pasukan yang kuat dalam perjuangan demi aspirasi rakyat negeri ini.

“Kita perlu terus memperkukuhkan perpaduan dan bersatu hati dalam komponen GRS serta terus bekerja untuk rakyat dan negeri Sabah tercinta,” jelasnya.

Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah itu berkata, program Jelajah Wanita GRS yang dilancarkan pada 23 Julai lalu perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk menjelaskan dasar dan perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini.

Menurutnya lagi, wanita GRS memainkan peranan yang lebih berkesan dalam memastikan rakyat tahu dan memahami segala dasar yang diperjuangkan oleh kerajaan. Ia termasuk usaha kerajaan GRS untuk terus menuntut hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jelas beliau, kerajaan GRS telah berhadapan dengan pelbagai ujian yang getir, sejak mengambil alih pentadbiran kira-kira tiga tahun lalu.

“Ini termasuklah ‘Langkah Kinabalu’, apabila ada pihak yang cuba menggulingkan kerajaan negeri. Namun atas kesatuan dan perpaduan kita serta sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) kita dapat mempertahankan kerajaan negeri.

Menurut Hajiji, kerajaan GRS telah membawa banyak kejayaan selama kira-kira tiga tahun memerintah negeri ini, dan akan membawa lebih banyak lagi pembangunan ke seluruh Sabah, seperti yang diperlukan rakyat.

“Namun sudah menjadi lumrah, pihak pembangkang khususnya Parti Warisan terus menafikan pencapaian dan kejayaan kita, kerana mereka menghidap sindrom penafian.

 “Sebenarnya Warisan yang masih kabur-kabur dan tidak nampak apa yang kita telah buat dalam masa tiga tahun ini.

“Suka saya mengingatkan agar kita tidak buat silap lagi seperti dahulu hingga kita berpecah-belah. Kepentingan rakyat sentiasa kita dahulukan dan inilah perjuangan GRS,” katanya.

You May Also Like