Ambil langkah segera kawal harga beras tempatan di Sabah

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

PAPAR: Peningkatan harga beras yang memberi bebanan tambahan kepada rakyat dipandang serius oleh kerajaan.

Justeru, usaha akan diambil bagi mencari pendekatan terbaik dalam harga beras tempatan di Sabah turut dikawal untuk mengelakkan rakyat terus terbeban.

Mengambil maklum harga beras tempatan di Sabah tidak dikawal seperti dilakukan di Semenanjung Malaysia dimana harga beras putih tempatan ditetapkan pada harga RM2.60 sekilogram, kerajaan negeri akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengenai kawalan harga berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dengan segera dalam menangani isu berkaitan kawalan harga beras di Sabah.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perbincangan sebegitu perlu bagi memastikan Sabah dimasukkan dalam senarai kawalan harga beras putih tempatan.

Pada masa ini, harga beras putih tempatan di Sabah tidak dikawal di bawah Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) (Pindaan)(No.5)2008 di bawah Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522) 1994.

“Sabah tidak termasuk dalam senarai tersebut maksudnya, kawalan harga beras putih tempatan yang ditetapkan pada harga RM2.60 tidak terpakai di Sabah. Maka, wujud keperluan untuk meneliti semula perintah berkenaan agar Sabah dapat dimasukkan dalam senarai tersebut.

“Malah, saya telah usulkan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Ketua Menteri Sabah dan kita harap perbincangan itu dapat disegerakan. Ini bagi membolehkan rakyat Sabah juga boleh menikmati harga beras putih tempatan pada kadar RM2.60 sekilogram,” katanya semasa merasmikan Jualah Rahmah Kampung Kawang di pekarangan Masjid Nurul Iman Kawang semalam.

Armizan, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu berkata, perkara itu telah dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan dan Perdana Menteri mengambil maklum tentang perkara ini.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, perkara tersebut dalam perhatian Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dan beliau juga telah menghubungi Ketua Menteri berkenaan usaha memasukkan Sabah dalam Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga).

Jelas beliau, kedua-dua pihak akan berbincang mengenai keperluan itu. Namun, berkemungkinan aka nada rungutan daripada pengusaha padi tempatan di Sabah apabila harga beras tempatan dikawal tapi, mereka perlu melihat kepentingan yang jauh lebih besar berikutan usaha mengawal harga beras tempatan.

Katanya, usaha itu sebagai langkah intervensi susulan harga beras import di pasaran cukup tinggi pada masa ini. Malah jika dilihat tahap sara diri beras (SSL) di Sabah juga juga hanya lima peratus berbanding di Semenanjung yang mencapai 70 peratus.

Apabila Sabah dimasukkan dalam senarai Perintas Beras, Sabah boleh mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membawa beras putih tempatan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah agar rakyat yang kurang berkemampuan boleh mendapatkan beras pada harga yang lebih murah berbanding beras import.

You May Also Like