Kerajaan Sabah akan pertimbang kenaikan elaun UPPM

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan kenaikan elaun Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, beliau akan memberi pertimbangan terhadap permintaan Pengarah UPPM negeri Sabah, Datuk Awang Kadin Tang yang meminta kerajaan mempertimbangkan kenaikan elaun mereka.

Pada masa sama, beliau mahu semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bekerja keras dalam memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan yang terbaik.

Hajiji berkata, kesemua 73 PPM perlu menunjukkan sifat profesional dan berdisiplin dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. Dalam era teknologi yang semakin canggih dimana, berita dan maklumat boleh diperoleh dengan mudah maka, beliau mahu PPM menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam meningkatkan mutu kerja mereka supaya lebih berkesan dan sistem penyampaian mereka lebih kreatif.

“Pelantikan ini bukan satu keistimewaan sebaliknya, ia adalah satu tanggungjawab penting yang perlu digalas.

“Maka, kamu harus berpegang kepada prinsip bekerja dengan penuh ketelusan, berintegriti dan sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan negeri. Saya berharap masalah dan keperluan rakyat di kesemua kawasan boleh diselesaikan dan dipenuhi,” katanya meyampaikan amat sempena Hari Keluarga Pemimpin Pembangunan Masyarakat, di sini semalam.

Malah katanya, PPM perlu bekerjasama rapat dengan wakil rakyat di kawasan masing-masing bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat di peringkat akar umbi tanpa mengambil kira latar belakang atau ideologi politik mereka.

“Ini akan membolehkan setiap anggota masyarakat dapat menikmati perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan tanpa ada sesiapa dipinggirkan,” ujarnya.

Menurut Hajiji, sebagai jambatan yang menghubungkan kerajaan dan rakyat akar umbi, UPP dan PPM yang dilantik perlu lebih proaktif dalam berkongsi maklumat dan menyelesaikan masalah rakyat kerana ia secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan imej PPM di mata rakyat.

Beliau berkata, PPM juga harus memainkan peranan bagi menyebar luas dasar-dasar kerajaan tertuama pembangunan yang dibawa oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas mengambil alih tampuk pemerintahan selama hampir tiga tahun.

Hajiji turut menggesa semua PPM agar sentiasa turun padang dan berkhidmat kepada rakyat.

“Sebagai pegawai PPM, kamu perlu lebih sensitif dan sentiasa mengetahui isu terkini dan bertindak menyelesaikan aduan yang dikemukakan rakyat. Kamu harus memberi perhatian yang lebih serius tentang tentang perkara ini,” katanya.

Beliau juga berharap semua PPM akan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka dengan sebaiknya bagi memastikan aspirasi pelan embangunan kerajaan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya sampai kepada rakyat.

PPM di setiap bahagian mesti memastikan program pembangunan dilaksana dengan berjaya dan sampai kepada kumpulan sasar.

Jelas beliau, hari keluarga sebegini adalah medium terbaik untuk meningkatkan kerjasama antara satu sama lain agar ia boleh menambah baik mutu kerja dalam kalangan kakitangan UPPM.

Hadir sama adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Panglima Kadzim Yahya; Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya; Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.

You May Also Like