Pertandingan mencipta video kreatif tawar hadiah keseluruhan RM50,000

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Pertandingan Mencipta Video Kreatif anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Biro Latihan Gagasan Rakyat, terbuka kepada warganegara Malaysia di Sabah.

Pengerusi pertandingan, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori satu bagi mereka berumur 18 hingga 38 tahun dan kategori kedua untuk peserta berumur 39 tahun ke atas.

Beliau berkata, pemenang johan setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM8,000 dan trofi. Tempat kedua pula akan menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.

“Sementara pemenang tempat ketiga akan menerima wang tunai RM3,000 dan trofi. Selain itu, lima hadiah istimewa juga akan diberikan kepada setiap pemenang iaitu wang tunai RM500 dan trofi,” katanya selepas majlis pelancaran Pertandingan Mencipta Video Kreatif di Ibu Pejabat Gagasan Rakyat, di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, yang juga Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Abdul Kassim berkata, pertandingan itu bertujuan untuk menggalakkan penduduk di Sabah yang mempunyai minat dalam mencipta video pendek kreatif untuk mempamerkan bakat dan kemahiran mereka.

Menurutnya, tema pertandingan ialah ‘Kita Orang Sabah’ dan video pendek yang dihasilkan boleh berkisar tentang tradisi dan budaya orang Sabah, kekayaan alam semula jadi di Sabah, pencapaian rakyat Sabah dan apa juga keadaan yang mempamerkan keindahan negeri Sabah.

Katanya, tempoh dan tarikh penyertaan bermula dari 9 September 2023 hingga 8 Disember 2023. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi nombor 017-8200232 atau email vcc.pgrs2023@gmail.com.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Naib-Naib Presiden, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Datuk Rubin Balang dan Datuk  Masiung Banah dan kepimpinan Gagasan Rakyat yang lain.

You May Also Like