KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yakin proses pembangunan di negeri ini akan dapat dipercepatkan susulan lawatan Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Katanya, Al-Sultan Abdullah selaku Ketua Negara pasti akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengatasi masalah yang dibawa kepada pengetahuan Baginda.
“Yang di-Pertuan Agong begitu senang hati dan dalam kembara ini, Seri Paduka dapat bertemu dengan rakyat biasa dan beberapa perkara dikemukakan kepadanya dan Baginda akan bawa perkara itu kepada Perdana Menteri untuk tindakan.
“Kita cukup gembira kerana buat pertama kali seorang Yang di-Pertuan Agong buat satu kembara yang begitu menawan hati rakyat Sabah,” katanya ketika mengulas tentang lawatan Yang di-Pertuan Agong selama lima hari Kembara Kenali Borneo.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), hari ini.
Mengulas lanjut katanya, rakyat Sabah cukup teruja dan gembira dengan lawatan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena Kembara Kenali Borneo.
Semasa kembara sepanjang lima hari di Sabah, Al-Sultan Abdullah bertitah untuk membawa masalah rakyat seperti jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik disampaikan kepada Perdana Menteri apabila Baginda kembali semula ke Kuala Lumpur.
Ketika Kembara Kenali Borneo, Raja Permaisuri Agong dilihat mencatit sendiri aduan-aduan yang dikemukakan oleh rakyat semasa kenderaan dipandu Al-Sultan Abdullah dihampiri oleh masyarakat setempat di sepanjang perjalanan di Sabah.
Program Kembara Kenali Borneo berlangsung pada 3 hingga 13 September bermula di Tawau dan berakhir di Teluk Melano, Sarawak bagi menelusuri Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak sepanjang 2,154 kilometer.
Di Sabah, Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong itu akan bermula di Tawau kemudian menuju ke Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kundasang, Kota Kinabalu, Penampang dan berakhir di Sipitang sebelum rombongan meneruskan perjalanan ke Brunei Darussalam dan Sarawak.