GRS tidak tergugat hasrat Bersatu tawan Sabah-Hajiji

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ingin menawan semula Sabah tidak dilihat mampu menggugat kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini pada pilihan raya akan datang.

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, dengan keahlian parti yang kini sudah mencecah 300,000 orang, beliau yakin dengan kedudukan dan sokongan terhadap mereka di Sabah.

Kenyataan daripada Bersatu Sabah ingin merampas semula pemerintahan di negeri ini hanya sekadar cakap-cakap politik.

“Kita tidak tergugat. Kalau tengok daripada keahlian, sambutan terhadap Gagasan Rakyat cukup hebat di Sabah.

“Bayangkan kalau kita dapat 300,000 ahli dalam beberapa bulan setelah ditubuhkan (pada Februari). Jadi, biasalah parti-parti politik ini, ada yang cakap lebih-lebih sikit untuk meyakinkan rakyat tapi, biar rakyat menentukan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat hari ini.

Pengerusi GRS itu berkata, keyakinan Bersatu untuk merampas Sabah adalah satu cita-cita besar.

“Itu cita-cita besar mereka, biarkan mereka jadi, kita tunggu sahaja nanti,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Bersatu Sabah, Abdul Kadir Damsal menyatakan Bersatu yakin mampu merampas semula Sabah yang hilang akibat pengkhianatan yang berlaku pada tahun lalu semasa Hajiji dan pemimpin Bersatu lain keluar parti secara beramai-ramai.

Keyakinan itu timbul selepas melihat sokongan yang diterima Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya di enam negeri di Semenanjung sebelum ini.

Mengenai mesyuarat berkenaan, Ketua Menteri Sabah itu berkata, AMT memutuskan untuk mengadakan mesyuarat di peringkat bahagian dan 73 cawangan di Sabah bermula pada 23 hingga 15 Oktober ini.

Jelas beliau, mesyuarat perhimpunan agung yang pertama akan diadakan pada 14 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Malah katanya, Gagasan Rakyat turut menubuhkan bahagian baharu di Labuan yang diketuai oleh Ketua Penaja Gagasan Rakyat, Rosli Awang Damit.

Pada ketika ini, GRS dianggotai oleh tujuh gabungan parti tempatan iaitu Gagasan Rakyat, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

You May Also Like