Pemilik infrastruktur telekomunikasi perlu sertai pemutihan

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Qhazanah Technology Sdn. Bhd. (Qhazanah Technology) memberi peringatan kepada semua pemilik infrastruktur telekomunikasi di negeri ini agar menyertai program pemutihan yang dilaksanakan di bawah agensi itu bagi memastikan pemantauan lebih berkesan.

Pengerusinya, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari berkata, program pemutihan itu penting untuk memastikan struktur telekomunikasi yang dibina tidak dianggap sebagai struktur haram.

“Qhazanah Technology Sdn. Bhd. juga sedang merancang untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjalankan operasi bersepadu bagi memastikan semua syarikat pemilik infrastruktur telekomunikasi mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh PBT dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyerahkan bayaran yuran permit tahunan struktur telekomunikasi (2019-2022) kepada Majlis Daerah Putatan sebanyak RM136,250 di pejabat majlis itu sempena Mesyuarat Penuh Majlis Daerah Putatan Bil 2/2023 semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Qhazanah Technology, Mikail S. Abdullah.

Ahmad berkata, Qhazanah Technology merupakan agensi yang telah dilantik secara sah oleh Kerajaan Sabah untuk menyelaras permohonan berkaitan infrastruktur teknologi di negeri ini.

“Saya menyarankan agar syarikat pemilik infrastruktur telekomunikasi memberi kerjasama untuk mengemukakan setiap permohonan kelulusan permit pembinaan infrastruktur komunikasi baharu dan mengemukakan permohonan pembaharuan permit tahunan melalui Qhazanah Technology untuk tindakan selanjutnya bagi mendapatkan kelulusan PBT,” kata Ahmad.

Ahmad berkata, dalam usaha memudahkan proses pengurusan dan pemantauan permohonan secara efisien, PBT diminta untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Qhazanah Technology dengan tidak menerima sebarang permohonan terus daripada syarikat pemilik infrastruktur telekomunikasi sebagai satu langkah untuk menjadikan proses pengurusan mudah dipantau dengan lebih efisien.

Sementara itu, Majlis Daerah Putatan turut merakamkan penghargaan kepada Qhazanah Technology dan berharap kerjasama antara kedua-dua pihak dapat diteruskan demi memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat dalam pemantauan dan pengurusan infrastruktur telekomunikasi di Sabah.

You May Also Like