Agong rasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah

Estimated read time 1 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyempurnakan perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah di Likas hari ini.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Hadir sama adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Selepas menyampaikan titah baginda, Al-Sultan Abdullah yang diiringi oleh Tun Juhar, Hajiji dan Mohd Na’im menandatangani plak perasmian kompleks mahkamah tersebut.

Seri Paduka turut melawat bilik perbicaraan Mahkamah Rayuan Syariah selepas menandatangani buku pelawat.

Majlis perasmian itu antara program yang dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong sempena Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari keempat perjalanan.

Kembara Kenali Borneo yang bermula di Tawau pada 3 September memberi peluang kepada Al-Sultan Abdullah menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam. Perjalanan sepanjang 2,149 kilometer bermula daripada 3 hingga 13 September.

You May Also Like