Kerajaan setuju sediakan Rumah Transit Belia SMJ

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri setuju untuk menyediakan Rumah Transit Belia Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam usaha membantu menyediakan kediaman sementara kepada peserta Program Felo SMJ.

Perkara dicadangkan oleh Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) itu akan cuba dilaksanakan dengan segera agar dapat meringkan bebanan peserta Felo SMJ yang akan menjalani latihan kepimpinan di kementerian, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, menerusi penempatan di kementerian dan agensi kerajaan itu, peserta Felo SMJ akan menerima bimbingan langsung daripada menteri, ketua-ketua eksekutif dan kepimpinan tertinggi kerajaan.

Langkah itu pastinya akan memberi pendedahan kepada peserta mengenai alam kerjaya dengan belajar tentang tatacara pengurusan sesebuah kementerian, agensi dan GLC.

Beliau berkata, pelaksanaan Program Felo SMJ pada tahun ini akan turut melibatkan lepasan diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf dengannya.

“Usaha ini secara langsung dapat membangun belia kita secara holistik sekali gus mampu menyediakan mereka sebagai sumber manusia yang kompeten, produktif dan berkemampuan menjadi pelapis kepada kepimpinan negeri dan negara.

“Selain itu, terdapat penambahan beberapa agensi dan institusi yang menjadi rakan strategik dalam pelaksanaan Felo SMJ 2.0 kali ini, termasuk sembilan buah GLC serta kementerian-kementerian sedia ada.

“Saya percaya, melalui penglibatan semua kementerian, beberapa agensi dan GLC terpilih akan mampu merealisasikan matlamat penganjuran Felo SMJ untuk menyediakan pelapis kepimpinan negeri Sabah suatu masa akan datang,” katanya dalam Majlis Penyerahan Felo SMJ 2.0, di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin.

Hajiji optimis, pelaksanaan Felo SMJ 2.0 akan menjadi pemangkin kepada belia-belia di negeri ini untuk bersaing secara sihat sekali gus membangunkan pencapaian kendiri mereka.

Sehubugan itu, beliau menyeru Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk memberikan hak upaya penuh kepada Majlis Belia Sabah (MBS) dalam melaksanakan program-program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS) khususnya program Felo SMJ.

Beliau juga yakin MBS mampu menjalankan program tersebut dengan baik dan teratur di bawah pemantauan kementerian.

Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri amat prihatin, peka dan menyokong aktiviti berkaitan pembangunan belia, terutama yang memberi pendedahan dan membina potensi serta ketrampilan peribadi dalam diri anak muda.

“Inisiatif Felo SMJ ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan pembangunan modal insan di negeri ini. Ia juga selari dengan teras kedua dalam Hala Tuju SMJ iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dan akan dilaksanakan kerajaan untuk mencapai hasrat memperkasa modal insan negeri ini seperti penganjuran MPPS di bawah seliaan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah.

“Semoga peluang menjadi Felo SMJ dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta bagi mempelajari sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran, baik dalam aspek pentadbiran hingga ke tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Sepanjang pelaksanaan program ini dan selepas itu, mereka disaran untuk mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman untuk kembali kepada masyarakat,” ujarnya.

You May Also Like