Hari Sabah disambut kembali selepas 60 tahun

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

TAMBUNAN: Status Sabah sebagai salah satu daripada empat wilayah yang membentuk Malaysia diperkukuhkan melalui penetapan tanggal 31 Ogos setiap tahun sebagai Hari Sabah dan akan disambut di seluruh negeri setiap tahun.

Sambutan Hari Sabah itu turut meniup lembali semangat kecintaan terhadap negeri ini yang ‘berkubur’ selama 60 tahun memandangkan sambutan itu pernah diraikan di beberapa daerah pada 31 Ogos 1963, namun tenggelam selepas Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 dan sejak itu, 31 Ogos diraikan sebagai Hari Kebangsaan.

Penetapan hari Sabah itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor di Dewan Pisompuruan Tambunan semalam dalam upacara penuh bersejarah semalam.

Hajiji berkata, usaha dan perjuangan untuk meraikan semula sambutan Hari Sabah bermula sejak beberapa tahun lalu, melalui perbincangan dalam kalangan rakyat dan pemimpin politik.

“Menyedari akan pentingnya Hari Sabah ini kepada seluruh rakyat, maka Kerajaan Negeri memutuskan untuk mewujudkan kembali sambutan atau perayaan Hari Sabah.

“Sebenarnya Hari Sabah ini pernah disambut di beberapa daerah pada 31 Ogos 1963, yang kemudian disusuli dengan perayaan Hari Malaysia pada 16 September”.

“Namun perayaan Hari Sabah ini seolah-olah terselindung oleh Sambutan Hari Kebangsaan yang juga dirayakan pada tarikh yang sama. Maka setelah sekian lama, tahun ini dan pada hari ini, kita raikan kembali Hari Sabah sebagaimana ia pernah disambut meriah 60 tahun yang lalu”, katanya ketika berucap melancarkan Sambutan Hari Sabah semalam.

Menurutnya, Hari Sabah telah diisytiharkan sendiri oleh Governor British, Sir William Goode pada 28 Ogos, 1963 di Jesselton, dengan mengisytiharkan bahawa Sabah akan mempunyai
kerajaannya sendiri dengan menggunakan Perlembagaan Sabah i yang baharu, berkuatkuasa pada 31 Ogos 1963 dan selari dengan perisytiharan itu, setiap daerah telah diarah untuk membuat persiapan bagi mengadakan sambutan Hari Sabah pada 31 Ogos 1963.

Hajiji berkata, perkembangan positif yang berlaku menjelang 31 Ogos, 60 tahun yang lalu itu, berhubung kait dengan gerakan pungutan suara yang dijalankan oleh Suruhanjaya Cobbold ke atas rakyat Borneo Utara (Sabah), bermula pada Februari 1962, berkaitan penubuhan sebuah negara baharu yang dinamakan Persekutuan Malaysia.

Hajiji berkata, peristiwa yang berlaku di bumi Sabah genap 60 tahun lalu, sebenarnya merupakan catatan sejarah yang sangat bermakna dan tinggi nilainya, yang tidak harus dilupakan begitu sahaja.

Menurutnya, sejarah negeri ini bukan sahaja perlu dikekalkan, bahkan wajib dihayati oleh seluruh rakyat, agar kita tidak lupa akan sejarah silam tentang pembentukan kerajaan dan kewujudan negeri Sabah yang sah di sisi undang-undang dan perlembagaan.

“Kerajaan British telah memberikan laluan kepada kita untuk membentuk masa depan sendiri, dan jalan itu terbuka dengan seluas-luasnya tanpa sebarang pertelingkahan atau pertumpahan darah”.

“Dengan terbentuknya kerajaan sendiri di samping penggunaan Perlembagaan Negeri yang baharu, ia merupakan permulaan kepada perisytiharan lebih besar iaitu pembentukan Persekutuan Malaysia yang merangkumi empat wilayah utama iaitu Sabah, Sarawak, Malaya dan Singapura.

Tamat.

You May Also Like