Dakwa dihalau, penduduk Kampung Suak Badil bina rumah atas tanah agensi kerajaan

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Surat arahan mengosongkan kawasan tanah milik agensi kerajaan iaitu Sawit Kinabalu dan Lembaga Tanah Kerajaan Negeri Sabah (SLDB) telah dikeluarkan beberapa kali.

Namun, penduduk Kampung Suak Badil, Membakut masih enggan berpindah sehingga pekerja syarikat datang bersama jentera untuk melakukan kerja-kerja perobohan.

Tempoh selama lebih tujuh bulan telah diberikan sejak surat pertama arahan mahkamah untuk mengosongkan kawasan itu dikeluarkan pada hujung tahun lalu.

Maka, tidak timbul isu penduduk dihalau oleh kerajaan sedangkan surat arahan pengosongan tanah oleh mahkamah tidak dikeluarkan.

Apabila isu tular sebegini timbul, pembangkang mula mengambil kesempatan meletakkan kesalahan dibahu kerajaan. Biarpun hakikatnya, rumah didirikan bukan tanah milik penduduk.

Isu penduduk dihalau ini timbul apabila sebuah video tular dalam laman media sosial Tiktok dua hari lepas mendakwa mereka dihalau tanpa ada sebarang surat arahan mahkamah.

Penolong Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di Kampung Suak Badil.

Beliau berkata, kawasan penempatan penduduk itu dibina atas tanah milik Sawit Kinabalu dan Lembaga Tanah Kerajaan Negeri Sabah (SLDB) maka, syarikat berhak untuk mengarahkan mereka mengosongkan tanah tersebut.

Pertikaian mengenai tanah itu telah dibawa ke mahkamah dan pihak syarikat telah memenangi kes berkenaan. Justeru, syarikat telah mendapatkan surat arahan mahkamah bagi mengarahkan penduduk mengosongkan tanah berkenaan.

Notis arahan mahkamah telah dikeluarkan beberapa kali dan notis pertama dikeluarkan pada hujung tahun lalu dan kali terakhir pada 25 Ogos lepas.

Maka, dakwaan penduduk yang menyatakan mereka dihalau keluar tanpa arahan mahkamah sama sekali tidak benar.

“Sejak notis pertama dikeluarkan, ramai penduduk telah mula berpindah keluar dan hanya dua atau tiga rumah sahaja yang enggan berpindah keluar dari kawasan tersebut,” katanya.

Menurutnya, kawasan itu juga bukan kampung yang diwartakan.

You May Also Like