Yang di-Pertua Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan akan memulakan jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ di Sabah pada bulan depan. Keputusan melakukan kembara menggunakan jalan darat itu adalah satu keputusan di luar dari kebiasaan.
Keputusan yang dibuat itu membuatkan langkah segera diambil bagi menyelenggara laluan Lebuhraya Pan Borneo yang akan dilalui Yang di-Pertuan Agong.
Seperti biasa, perkara ini dipolitikkan oleh pembangkang untuk memperkecilkan usaha kerajaan GRS malah, turut menyindir dengan menggesa Yang di-Pertuan Agong agar lebih kerap datang ke Sabah kerana itu dikatakan satu-satunya cara membuatkan kerajaan GRS mula mengambil tindakan.
Mereka menganggap langkah itu diambil bagi menjaga imej kerajaan GRS. Tanggapan sebegitu bukan hanya menunjukkan sikap Warisan yang jahil malah, mereka cuba menutup keadaan sebenar demi kelangsungan politik.
Seperti kita maklum, Lebuhraya Pan Borneo berada di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan. Justeru, peruntukan dan pelaksanaan kerja pembinaan lebuh raya adalah di bawah Persekutuan.
Sejak bertahun lamanya, karenah birokrasi menyebabkan kelewatan dalam agihan peruntukan yang mengakibatkan keadaan jalan bertambah teruk seperti yang digelar rakyat Sabah ‘jalan atas bulan’.
Berbanding jalan-jalan negeri, kerajaan GRS sentiasa memastikan keadaan jalan sentiasa baik dan diselenggara biarpun berhadapan dengan peruntukan yang terhad.
Warisan sepatutnya lebih mengetahui tentang perkara ini kerana mereka juga pernah menjadi kerajaan negeri biarpun hanya separuh penggal. Namun, mereka enggan mengakui situasi ini dan enggan berfikir secara rasional. Mereka hanya ingin mencari kesilapan kerajaan GRS tanpa melihat kepada situasi sebenar.
Namun, kita tidak mengharapkan Warisan bertindak secara rasional dan menjadi pembangkang yang bersifat konstruktif kerana mereka ingin menjadi parti yang sentiasa mempolitikkan semua perkara.
Itu sudah menjadi lumrah Warisan untuk tularkan setiap isu dengan niat untuk mendapatkan manfaat dari segi politik dan bukannya mahu perubahan bersifat konstruktif.
Kenyataan yang mereka keluarkan berniat untuk menjatuhkan imej kerajaan dengan berpura-pura muncul sebagai juara dihadapan orang ramai. Adakah kenyataan dikeluarkan mereka berniat untuk melihat kehidupan rakyat Sabah menjadi lebih baik? Mereka sepatutnya berbuat begitu semasa memerintah Sabah tapi, hakikatnya mereka gagal.
Kenapa Warisan bersungguh-sungguh ingin menjatuhkan imej kerajaan? Jawapannya mudah, mereka dalam ketakutan. Sekiranya GRS mampu menyelesaikan isu bekalan air, jalan raya dan mengatasi masalah pengangguran, Warisan akan kehilangan isu untuk dipolitikkan.
Hakikatnya, pembangkang bukan hanya Warisan perlu ingat bahawa setiap kali sesuatu isu dipolitikkan seperti kemudahan infrastruktur asas, ia tidak akan membawa kebaikan.
Ketika GRS sibuk menyelesaikan masalah kemudahan infrastruktur asas ini, pembangkang pula mahu berlagak menjadi juara. Tindakan mereka bukan hanya menjejaskan inisiatif yang dilakukan kerajaan malah, meremehkan masalah dihadapi rakyat.
Kini, sudah tiba masanya pembangkang bersama penyokong-penyokong mereka mengakui kesilapan yang dilakukan kerana sabotaj segala usaha dilakukan kerajaan demi kepentingan politik.
Lawatan Yang di-Pertua Agong seharusnya dijadikan peluang untuk Bersatu dan bukannya dijadikan sebagai medium untuk pembangkang berpolitik.
Jadikan lawatan itu sebagai tempoh untuk melakukan gencatan politik dengan memberi fokus kepada usaha membawa Sabah kepada satu tahap yhang lebih baik. Itu mungkin cara untuk kita memberi sumbangan kepada Agong dengan menunjukkan penyatuan kita ke arah masa depan Sabah yang lebih terjamin.
Prem Kitingan merupakan timbalan ketua pemuda GRS Keningau.