KOTA KINABALU: Masalah lori membawa muatan berlebihan antara cabaran dihadapi dalam mengekalkan keadaan jalan yang selesa di kawasan Pantai Timur Sabah.
Maka, memang wajar jalan-jalan di kawasan tersebut dinaik taraf dan bukannya sekadar diselenggara. Itu sebabnya peruntukan sewajarnya diperlukan bagi menaik taraf mahupun menyelenggara jalan-jalan Persekutuan yang berada di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pengiring Program Kembara Kenali Borneo, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, jalan di kawasan antara Ranau hingga Kinabatangan yang berada dalam keadaan teruk juga telah diselenggara.
Ia bagi membolehkan jalan tersebut lebih selamat dan selesa untuk dilalui Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Kembara Kenali Borneo.
“Sejak tahun lepas beberapa kawasan antara Ranau ke Kinabatangan berada dalam keadaan yang teruk hingga dilabel sebagai jalan permukaan bulan oleh netizen.
“Justeru, dengan peruntukan daripada Persekutuan, kerja-kerja penyelenggaraan telah dilakukan dan keadaan jalan berlubang telah diperbaiki. Mungkin tidak 100 peratus tapi, ia berada dalam keadaan lebih selamat dan selesa.
“Kita tahu jalan-jalan ini sudah lebih had tempoh reka bentuk dan memang wajar dinaik taraf, bukan diselenggara sahaja. Tapi untuk seketika, ia masih selamat digunakan,” katanya semasa sidang media sempena Program Kembara Kenali Borneo di sini, pada Selasa.
Menteri Kerja Raya itu berkata, beliau berharap, penyelenggaraan yang dilakukan membolehkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta rombongan dapat melalui jalan yang selesa.
Di samping itu, hasil lawatan tersebut juga diharap dapat meningkatkan lagi komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan peruntukan sewajarnya bagi menyelenggara jalan-jalan Persekutuan di Sabah.
Menurut beliau, jalan-jalan Persekutuan yang merupakan jajaran Lebuhraya Pan Borneo itu sepatutnya sudah dinaik taraf semasa projek itu bermula pada 2016.
Walau bagaimanapun, atas beberapa faktor seperti perubahan kerajaan telah memberi kesan dan menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek berkenaan.
Namun, beliau yakin dengan komitmen Kerajaan Perpaduan, pembinaan fasa 1 yang masih berbaki akan mula dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Mengenai persiapan lawatan Yang di-Pertuan Agong bermula 3 hingga 7 September, beliau berkata, persediaan bagi Kembara Kenali Borneo di Sabah sudah mencapai 90 peratus siap.
Lapan daerah telah dipilih sebagai lokasi persinggahan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong iaitu Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang.
“Sepanjang berada di Sabah, beberapa program telah disusun atur di setiap daerah yang akan dilawati dengan mengetengahkan budaya kita melalui masakan tradisi dan juga hasil kraftangan serta produk tempatan yang dihasilkan pengusaha tempatan.
“Kita juga berkongsi dengan Yang di-Petuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan melalui lawatan ke tempat yang kaya dengan keunikan alam semulajadi dan tamu mingguan yang begitu sinonim dengan masyarakat di negeri ini,” katanya.