Kerajaan Sabah beri perhatian tentang kepentingan wanita

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Wanita di negara ini begitu bertuah kerana kerajaan tidak pernah mengabaikan kepentingan mereka termasuk yang hanya menjadi suri rumah sehingga yang berkerjaya.

Isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (Mutiara GRS), Datin Seri Panglima Juliah Salag berkata, wanita berhak mendapat pendidikan yang sewajarnya malah turut diberi peluang untuk menjadi usahawan selain pelbagai bantuan turut diberikan kerajaan.

Beliau berkata, ini kerana semua wanita memainkan peranan dan tangungjawab yang sama penting dalam membangunkan masyarakat.

“Wanita yang memilih sebagai suri rumah dan tidak bekerjaya juga memainkan peranan yang besar dalam memastikan kebajikan keluarga, pendidikan anak-anak dan sebagainya.

“Justeru, suri rumah perlu memiliki ilmu pengetahuan, ilmu kewangan dan kekeluargaan serta menjadi contoh kepada anak-anak”, katanya semasa merasmikan Program Anjung Mutiara sempena Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma Muis, di sini hari ini.

Juliah berkata, di Sabah sendiri saban tahun berlaku perubahan wanita sebagai pembuat keputusan terutamanya dalam sektor penjawat awam.

Menurutnya, setakat bulan Ogos ini, statistik dan data wanita pembuat keputusan dalam kerajaan negeri bagi jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) berjumlah 33.3 peratus iaitu seorang wanita daripada tiga orang TSKN.

Katanya, bagi jawatan Setiausaha Tetap mencatat 9.09 peratus iaitu seorang wanita daripada 11 Setiausaha Tetap Kementerian.

Peratusan Timbalan Setiausaha Tetap (TSUT) sebanyak 40 peratus iaitu lapan wanita daripada 20 TSUT, manakala ketua jabatan pula sebanyak 30.23 peratus iaitu 13 wanita daripada 43 ketua jabatan.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita kerana wanita merupakan salah satu tonggak pembangunan negara yang paling penting, bukan sahaja dalam aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara”.

“Justeru, sebagai wanita yang turut memainkan peranan penting kepada pembangunan negara dan bangsa, marilah kita terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta mendalami ilmu agama sebanyak mungkin”, tegasnya.

Juliah berkata, isu berkaitan wanita merupakan sesuatu yang ‘malar segar’ dan perlu ditangani dari masa ke semasa.

Menurutnya, perkara-perkara berkaitan wanita yang menyentuh soal ibadah banyak dibincangkan oleh para Fuqaha dan cendekiawan Islam dari awal perkembangan Islam hingga kini.

Katanya, agama Islam sangat mengambil perhatian kepada perkara hukum yang berkaitan wanita, kerana kedudukan dan peranan mereka dilihat sebagai sangat besar dalam membentuk generasi masa depan yang lebih cemerlang di dunia dan akhirat.

Justeru katanya, Program Anjung Mutiara yang diadakan amat tepat pada masanya kerana yang dibincangkan oleh penceramah lebih menjurus kepada peranan dan perkara-perkara yang berkaitan wanita dalam Islam.

You May Also Like