TAWAU: Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegur pihak-pihak yang cuba memperlekeh Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi teras kepada teras kepada pelan pembangunan kerajaan sekarang untuk memmbawa kemajuan serta kemakmuran kepada Sabah.
Tegas Ketua Menteri, Pelan Pembangumam SMJ bukanlah retorik semata-mata tetapi telah terbukti membawa kejayaan dalam meningkatkan ekonomi negeri sejak dilancarkan lebih dua tahun lalu.
Justeru katanya, tidak tersebut sama seperti memperlekeh perjuangan pemimpin lama kerana cogan kata itu diambil daripada Jata Sabah yang menjadi pegangan sejak sekian lama.
“Dalam konteks Pelan Pembangunan SMJ, masih terdapat segelintir orang yang cuba memperkecil atau memperlekeh slogan Sabah Maju Jaya yang dipinjam daripada Jata Negeri.
“Pada saya, mereka yang cuba memperlekeh cogan kata Sabah Maju Jaya, samalah seperti memperlekeh usaha dan perjuangan para pemimpin dan pejuang masa silam,” katanya.
Hajiji berkata, antara bukti kejayaan melalui Pelan Pembangunan SMJ ialah pencapaian dalam sektor pembangunan ekonomi yang mana perdagangan Sabah telah mencapai rekod tertinggi dalam sejarah.
“Pada tahun lepas, perdagangan Sabah bernilai RM118.1 bilion berbanding RM 87.2 billion pada tahun 2021. Peningkatan sebanyak 35.4% ini adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini,” katanya ketika melancarkan Forum Malaysia Madani.
Menurut Hajiji, beliau menyokong penuh penganjuran Forum Malaysia Madani sebagai usaha menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke arah membina sebuah negara yang bertamadun, maju dan progresif.
“Gagasan Malaysia Madani ini adalah hala tuju Kerajaan Perpaduan Persekutuan dalam membawa Malaysia terus maju sebagai sebuah negara yang hebat dalam pelbagai aspek terutama ekonominya, pembangunan dan kemajuan termasuk pendidikan, sumber manusia, agama dan budaya.
“Konsep Malaysia Madani adalah selaras dengan Pelan Pembangunan SMJ yang telah saya perkenalkan pada awal 2021, sebagai matlamat atau dasar hala tuju Kerajaan Negeri,” katanya.
Sehubungan itu beliau mengajak seluruh rakyat, terutama kalangan penjawat awam, selaku nadi penggerak pengurusan dan pentadbiran negeri, untuk terus berusaha dan bekerja demi membina sebuah negeri yang boleh dibanggakan bersama.