Perkemas bahagian, tingkat kemasukan ahli Gagasan Rakyat untuk hadapi PRN

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

TAWAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan pimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di semua peringkat agar memperkemaskan bahagian masing-masing sebagai persediaan menghadapi Pilhan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Presiden Gagasan Rakyat itu berkata, paling penting adalah untuk meningkatkan keahlian parti selain menubuhkan cawangan parti di semua bahagian.

“Pada masa ini, Gagasan Rakyat mempunyai lebih 200,000 ahli dan menjelang hujung tahun ini, keahlian akan mencecah 300,000 orang. Saya yakin selepas perhimpunan agung selesai, Gagasan Rakyat akan menjadi satu parti yang kuat di negeri ini.

“Justeru, adalah penting untuk memperbanyakkan keahlian parti selain menubuhkan cawangan parti di semua bahagian. Untuk menguatkan parti, kita perlu mempunyai ahli yang ramai dan cawangan yang banyak.

“Selain itu, adalah menjadi harapan saya agar pimpinan parti di semua peringkat memperkemaskan bahagian masing-masing sebagai persediaan menghadapi PRN Sabah akan datang,” katanya semasa sesi Ramah Mesra bersama pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat Bahagian Parlimen Tawau dan Kalabakan, di sini hari ini.

Hajiji juga mahu semua bahagian parti perlu menjadi kuat kerana hanya dengan kekuatan saja pelbagai cabaran boleh dihadapi.

“Inilah harapan kita dan kehendak ahli serta rakyat Sabah iaitu kita mesti menggunakan platform parti tempatan. Kita akan terus berjuang bersama rakyat agar dapat membangunkan Sabah dengan lebih teratur dan rancak.

“Keputusan kita untuk menubuhkan parti lokal (tempatan) adalah tepat dan baik untuk masa depan negeri ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang menghadiri majlis santai berkenaan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Gagasan Rakyat akan mengadakan perhimpunan agung pertama parti pada bulan November ini di Kota Kinabalu.

Pada majlis berkenaan, Hajiji turut menerima borang keahlian baharu Gagasan Rakyat daripada Bahagian Balung, Apas, Sri Tanjung, Kukusan, Tanjung Batu, Merotai dan Sebatik.

You May Also Like