KOTA KINABALU: Tidak timbul isu penyalahgunaan kuasa dalam pembelian tanah yang dikaitkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abd Ghani Mohd Yassin.
Isu pembelian tanah itu sebenarnya sudah selesai dan perkara itu telah dijelaskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang lalu.
Tindakan Ketua Cabang PKR Pensiangan, Raymond Ahuar membuat laporan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis mengenai isu tersebut dilihat dengan sengaja ingin mencalarkan nama baik dan reputasi ADUN Nabawan.
Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Nabawan, Ag. Azuan Pg. Hamzah berkata, mereka sedia maklum mengenai tindakan Ketua Cabang PKR itu dan meminta Raymond agar tidak lagi mengembar-gemburkan isu tersebut.
“Laporan mengenai isu tanah yang sebenarnya sudah selesai beberapa bulan yang lalu, malah isu itu sudah dijelaskan semasa sesi sidang DUN Sabah, dan pihak media sudahpun melaporkannya.
“Tiada unsur salah guna kuasa untuk kepentingan mana-mana pihak. Maka, kami menyeru agar isu ini tidak digembar-gemburkan lagi.
“Walau bagaimanapun, pihak kami akan berpegang kepada kedaulatan undang-undang untuk tindakan selanjutnya diambil,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar pimpinan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Perpaduan menolak dakwaan Ketua Cabang PKR Pensiangan tersebut.
Malah katanya, mereka juga menyeru seluruh akar umbi PKR Pensiangan dan pimpinan Pusat sebulat suara menolak ketua cabang Pensiangan itu dan beliau harus digantikan dengan individu yang lebih berkelayakan.
Jelas beliau, prestasi ditunjukkan ketua cabang berkenaan juga kurang baik dan tindakan itu tidak menggambarkan sikap ingin memelihara perpaduan yang ada.