Tiada keperluan kerjasama GRS-Warisan

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Walaupun kerjasama politik mungkin akan berlaku pada masa hadapan namun, sekarang tiada keperluan untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan).

Ketua Penerangan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Hisham Ampongou Abdullah berkata, tidak perlu bekerjasama sekarang kerana pada masa ini, GRS sudah mempunyai kekuatan sendiri.

“Dengan kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Lahad Datu (Datuk Mohd Yusof Apdal) mengenai kerjasama Warisan dan GRS, bagi saya itu pandangan beliau secara peribadi.

“Kita tidak tolak akan wujud kemungkinan-kemungkinan (kerjasama) itu tapi, dalam keadaan sekarang, tiada keperluan. Namun kita tidak dapat melihat masa depan, apa yang akan berlaku.

“Dalam keadaan politik tidak menentu ini, kerjasama politik tidak mustahil akan berlaku.

“Dulu UMNO juga begitu, ‘No DAP No Anwar’ tapi akhirnya mereka bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kerana masing-masing tidak boleh bentuk kerajaan,” katanya.

Hisham berkata, kerjasama mungkin akan berlaku dalam keadaan apabila parti tidak dapat membentuk kerajaan, mungkin pada masa itu baru cerita untuk bentuk kerjasama.

Menurut beliau, sekarang di peringkat Persekutuan Warisan dan GRS memang saling bekerjasama. Tapi, tidak di peringkat negeri.

Namun, GRS sebenarnya terbuka kepada sebarang cadangan untuk mewujudkan kerjasama.

“Kita tengok apa bakal berlaku apabila sudah ada jemputan secara rasmi terhadap parti-parti GRS termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dijemput untuk berdialog dan buka ruang untuk berbincang mengenai kerjasama tersebut.

“Apabila tiba saat itu, mungkin baru kita nampak bentuk kerjasama macam mana mereka (Warisan) maksudkan.

“Tapi, dalam keadaan sekarang, sekiranya esok diadakan pilihan raya, saya fikir Warisan dan GRS akan tanding dan berlawan antara satu sama lain di kawasan yang difikirkan berpotensi untuk menang. Jika itu berlaku, mana mana mahu bentuk kerjasama seperti dicadangkan,” ujarnya.

Pada Ahad, Ahli Parlimen Warisan, Mohd Yusof menyatakan tidak mustahil Warisan akan bekerjasama dengan GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya ia boleh mencapai matlamat untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

Namun katanya, perkara itu perlu dirujuk kepada Majlis Tertinggi Warisan untuk dipertimbangkan.

You May Also Like