Hajiji: Pastikan tiada projek bekalan air tertangguh!

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memberi peringatan kepada semua pihak terutama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) agar memastikan setiap projek bagi memulihkan bekalan air di negeri ini disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Ketua Menteri berkata, beliau tidak mahu ada projek yang tertangguh memandangkan air adalah keperluan asas rakyat.

“Semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya Jabatan Air Sabah mesti memastikan semua projek bagi menyelesaikan gangguan bekalan air di negeri ini disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan kerana ini adalah keperluan asas rakyat,” katanya di laman sosial Facebook hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali serta Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmy Yahya melawat projek naik taraf Loji Rawatan Air Kogopon Fasa 2.

Hajiji berkata, projek naik taraf bernilai RM379 juta itu dijangka siap sepenuhnya dengan kapasiti bekalan air harian mencecah 80 juta liter sehari dan akan memberi manfaat kepada 160,000 pengguna di kawasan Putatan, Kinarut, Lok Kawi serta kawasan sekitarnya.

“Selain itu, empangan hidroelektrik bernilai RM4 bilion akan dibina di Ulu Padas, Tenom sebagai penyelesaian jangka panjang kekurangan bekalan air di Sabah.

“Empangan dengan kapasiti harian enam juta liter sehari ini pula dijangka siap dalam tahun 2027,” jelas beliau.

Menurut Ketua Menteri, kerajaan negeri juga akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan Empangan Kaiduan, Papar sebagai satu lagi penyelesaian jangka panjang kekurangan bekalan air sekali gus memenuhi keperluan para pelabur di negeri ini.

Katanya, gangguan bekalan air di kawasan Tuaran sehingga ke Universiti Malaysia Sabah (Sabah) pula dijangka selesai pada akhir tahun ini setelah isu yang melibatkan Loji rawatan Air Telibong 2 diselesaikan.

“Kerajaan juga akan meneruskan projek-projek menyelesaikan bekalan air di seluruh Sabah termasuk Sandakan, Tawau dan Lahad Datu,” kata Ketua Menteri.

You May Also Like