GRS terbuka kerjasama mana-mana parti

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, GRS bersikap terbuka dalam hal-hal yang membawa kebaikan kepada negeri Sabah tapi, kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan gabungan GRS, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Di dalam BN pun ada beberapa parti, ada parti yang menyokong kerajaan ini dan ada parti di dalam (BN) yang menarik sokongan daripada kerajaan jadi, cukuplah saya cakap BN.

“Kita adalah sebuah kerajaan yang terbuka kepada apa juga cadangan-cadangan yang baik untuk perpaduan rakyat dan juga negeri Sabah,” katanya ketika diminta mengulas tentang kenyataan Ahli Parlimen Warisan, Datuk Mohd Yusof Apdal mengenai kemungkinan kerjasama antara Parti Warisan (Warisan) dan GRS pada PRN akan datang.

Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah projek pembinaan Loji Rawatan Air Kogopon, di sini hari ini.

Pada Ahad, Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohd Yusof menyatakan tidak mustahil Warisan akan bekerjasama dengan GRS pada PRN akan datang sekiranya ia boleh mencapai matlamat untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

Walau bagaimanapun katanya, perkara itu perlu dirujuk kepada Majlis Tertinggi Warisan untuk dipertimbangkan.

Mohd Yusof berkata, sekiranya ada keperluan untuk bekerjasama dalam kalangan berbagai parti untuk membolehkan kerajaan dibentuk, Warisan sentiasa boleh berbincang namun, ia terletak kepada keputusan Majlis Tertinggi Warisan.

Sebelum ini, Hajiji yang juga Ketua Menteri itu berkata, kerjasama yang terjalin antara GRS, PH dan BN dalam kerajaan perpaduan di Sabah akan terus dikekalkan pada pilihan raya akan datang.

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu juga berkata, kerjasama bagi menghadapi pilihan raya perlu dibincangkan secara mendalam antara tujuh parti yang menganggotai GRS.

Tujuh parti dalam gabungan tersebut adalah Gagasan Rakyat, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

You May Also Like