Pemimpin Mat Jenin PKDM hanya tamak kuasa

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yang kuat berangan seperti Mat Jenin akan menerima kekalahan dalam pilihan raya negeri Sabah akan datang.

Peringatan tegas itu diberikan veteran Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Radin Malleh terhadap Presiden PKDM, Datuk Peter Anthony yang disifatkan terlalu banyak berangan kerana menyangka mampu melakukan sekali lagi apa yang telah dilakukannya semasa pilihan raya lalu untuk menarik sokongan.

“Peter telah menjadi ADUN Melalap sejak 2018 tetapi boleh dia tunjukkan apa yang telah dilaksanakan di kawasannya?.

“Beliau bekas Menteri JKR (Menteri Pembangunan Infrastruktur) selama dua tahun ketika Warisan berkuasa tetapi bolehkah dia tunjukkan jalan-jalan di Melalap yang telah diperbaiki lebih-lebih lagi yang dinaik taraf?,” soal bekas Timbalan Presiden PBS itu.

Katanya, rakyat tidak akan tertipu sekali lagi malah sekarang telah menyedari PKDM bukanlah parti yang boleh diharapkan.

Parti itu tidak mempunyai hala tuju melainkan ketamakkan individu. Untuk menjadi YB adalah demi mengejar agenda peribadi bukannya kepentingan rakyat Sabah.

“Apabila tiba masanya, rakyat akan memilih pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya yang merupakan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan ADUN Melalap.

Dalam Program Santai Komuniti Melalap baru-baru ini, Peter dilaporkan berkata PKDM yakin untuk memenangi sekurang-kurangnya tujuh kerusi di utara Sabah dalam pilihan raya negeri akan datang.

Keyakinannya bersandarkan kepada andaian sokongan terhadap PKDM yang semakin ‘meningkat’.

“Kita mungkin parti kecil tetapi telah membuktikan keupayaan untuk menewaskan parti gergasi PBS dalam Parlimen Kota Marudu semasa pilihan raya umum lalu,” katanya.

Seorang pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) turut meminta Peter agar menerima realiti bukannya terlebih yakin.

“Sifat terlalu yakin akan membelakangkan pengundi atas pagar dan membawa kekalahan,” kata Ketua Bahagian PGRS Tandek, Datuk Dr. Janathan Kandok.

Janathan turut mengingatkan Peter agar tidak tersalah tafsir bahawa kemenangan PKDM di Kota Marudu tahun lalu sebagai tanda pertambahan sokongan kepada partinya.

Sebaliknya kata Janathan, keadaan di Sabah sekarang menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Noor sebenarnya yang menjadi pilihan untuk Sabah terus maju.

“GRS adalah pilihan kebanyakkan sekarang. Pelan hala tuju Sabah Maju Jaya yang dilancarkan dua tahun lalu oleh Ketua Menteri akan membawa Sabah ke arah kemajuan,” katanya.

Sejak GRS memerintah Sabah dua tahun lalu, keyakinan pelabur telah meningkat dan merekodkan lebih RM12 bilion pelaburan.

You May Also Like