Iktiraf Hari Sabah, kerajaan GRS faham keinginan rakyat

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sabah yang akan diraikan buat julung-julung kalinya tahun ini jelas menunjukkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memahami naluri dan keinginan rakyat.

Pengumuman yang dibuat Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor itu membuka satu lembaran sejarah baharu bagi membolehkan rakyat memperingati sejarah kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963.

Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Japiril Suhaimin berkata, pengiktirafan itu akan memberi ruang kepada generasi muda untuk mengetahui sejarah Sabah.

“SAPP menyambut baik kelulusan Kabinet Negeri dalam memberi pengiktirafan terhadap sambutan Hari Sabah yang julung-julung kali diadakan pada tanggal 31 Ogos ini.

“Ia sebagai memperingati hari kemerdekaan Sabah yang bebas daripada pemerintahan British pada 31 Ogos 1963,” katanya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun katanya, SAPP berharap sambutan Hari Sabah ini akan diraikan setiap tahun dan diwartakan sebagai acara rasmi negeri Sabah.

Pewartaan Hari Sabah akan membolehkan sejarah kemerdekaan negeri Sabah terpahat dalam sanubari dan jiwa rakyat Sabah.

“Selama bertahun-tahun berjuang agar Hari Sabah diraikan, pengumuman Ketua Menteri itu memberi kelegaan dan kegembiraan terhadap SAPP, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan semua yang berjuang untuk mendapatkan pengiktirafan Hari Sabah,” katanya.

Bertemakan ‘Sayangi Sabah’, beliau berharap rakyat Sabah akan sama-sama meraikan sambutan ini pada setiap 31 Ogos.

Sebelum ini sambutan 31 Ogos adalah bagi memperingati Hari Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 kini, pada tarikh yang sama, rakyat di negeri ini harus mengibarkan bendera Sabah bagi memperingati kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963.

You May Also Like