Hari Sabah perlu diwartakan

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Pengiktirafan terhadap Hari Sabah menandakan satu langkah yang signifikan diambil oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam mengiktiraf sejarah Sabah.

Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jalumin Bayogoh berkata, beliau amat menghargai usaha dan pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan GRS.

Beliau berkata, Hari Sabah adalah peristiwa bersejarah yang selama ini dilupakan.

“Pengiktirafan ini adalah satu perkembangan yang baik dan menunjukkan usaha berterusan GRS dalam memperjuangkan hak Sabah,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan atas perjuangan selama ini bagi memastikan Hari Sabah mendapat pengiktirafan.

“Usaha mendapat pengiktirafan ini adalah satu perjuangan yang sukar kerana acara bersejarah ini telah disembunyikan selama bertahun-tahun. Komitmen yang ditunjukkan oleh Jeffrey dalam usaha ini harus mendapat pujian.

“Beliau mungkin tidak mahu mengambil nama namun, beliau adalah orang yang memperjuangkan Hari Sabah selama ini,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Jalumin berkata, pengiktirafan itu membuka ruang untuk memastikan Hari Sabah diwartakan sebagai sebuah acara yang rasmi. Pewartaan itu penting bagi memastikan Hari Sabah akan diraikan sama seperti Hari Sarawak yang bukannya sekadar satu perintah eksekutif.

“Kita tidak mahu kerajaan yang memerintah pada masa akan datang membatalkan sambutan ini kerana kejahilan. Hari Sabah seharusnya mendapat sokongan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, beliau agak kecewa apabila ada sesetengah individu terutama pembangkang menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan mengiktiraf Hari Sabah ini.

“Saya rasa hairan apabila ada orang terutama pembangkang tidak berpuas hati dengan pengiktirafan ini malah, mereka menidakkan hari bersejarah ini dengan menyatakan Sabah masih belum merdeka.

“Saya tidak tahu apa yang dikehendaki oleh golongan sebegini, saya harap kesihatan mental mereka sentiasa baik,” katanya.

You May Also Like